KUALA NERANG: UMNO akan terus mempertahankan Kerajaan Perpaduan dengan mengetepikan perbalahan yang dicetuskan anasir luar, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden UMNO itu menegaskan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah berada di landasan yang betul, namun masih ada usaha untuk menjatuhkan Perdana Menteri.
Beliau berkata, UMNO kini berada dalam kerajaan yang mampu memberi manfaat hingga ke peringkat akar umbi.
“Ada tak usaha untuk mengurangkan majoriti dan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri? Jawapannya, ya. Kita akan mempertahankan Kerajaan Perpaduan kerana yakin bahawa lebih banyak manfaat diperoleh jika berada dalam Kerajaan Perpaduan.
“Antaranya, agenda Islam dan Melayu menjadi teras perjuangan tanpa mengetepikan kaum serta agama lain,” katanya ketika berucap pada Jelajah Akar Umbi Presiden UMNO Bersama UMNO Bahagian Padang Terap, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, beliau menghargai rakan-rakan parti komponen lain dalam Kerajaan Perpaduan yang sentiasa bersama UMNO ketika pilihan raya kecil (PRK) sehingga parti itu mencapai kemenangan.
“Kita lihat pada PRK Tioman dan PRK Pelangai di Pahang, kita menang kerana rakan-rakan (Pakatan Harapan) bantu. Kini di Kuala Kubu Bharu, tidak salah UMNO bantu sebab mereka pernah bantu kita. Jentera UMNO wajib bekerja keras menangkan calon Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Seterusnya, Ahmad Zahid menekankan walaupun UMNO hanya mempunyai 26 kerusi Parlimen, ia tidak menunjukkan pihak pembangkang kuat.
“Yakinlah, mereka tidak kuat tetapi kita yang lemah. Kenapa kita lemah? Sebab ada dalam kalangan kita yang terpengaruh dengan propaganda mereka (pembangkang),” katanya.