PPNS diiktiraf sebagai anak angkat Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan

Foto – Pemilik asal

Pengiktirafan kerajaan negeri terhadap Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) sebagai anak angkat di bawah Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan merupakan satu langkah strategik yang tepat dalam memperkukuh sektor agromakanan di Sabah. Inisiatif yang diumumkan, termasuk pelaksanaan Inisiatif Kebun Dapur dan kemudahan pinjaman tanpa faedah kepada usahawan tani muda, dilihat memberi impak langsung kepada rakyat serta ahli peladang dalam meningkatkan keterjaminan bekalan makanan negeri.

Pendekatan Inisiatif Kebun Dapur bukan sahaja menggalakkan rakyat menghasilkan makanan sendiri di peringkat komuniti, malah mampu memperluas rantaian pengeluaran makanan secara lebih menyeluruh. Dalam masa yang sama, usaha memperkukuh sektor akuakultur dan penternakan kecil turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan sumber protein tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada bekalan luar, sekali gus meningkatkan daya tahan sektor pertanian berdepan peningkatan kos input.

Kemudahan pinjaman tanpa faedah sehingga RM50,000 kepada golongan belia pula menjadi pemangkin penting dalam menarik minat generasi muda untuk menceburi sektor agromakanan. Langkah ini bukan sahaja membuka peluang pekerjaan, tetapi juga berpotensi melahirkan usahawan tani baharu yang lebih berdaya saing dan inovatif dalam pengeluaran makanan.

Selain itu, usaha kerajaan mewujudkan pusat pengumpulan hasil pertanian di seluruh negeri dilihat mampu memudahkan pemasaran hasil, membantu peladang memperoleh pulangan yang lebih stabil serta memperkukuh rantaian bekalan. Pendekatan bersepadu yang merangkumi aspek pengeluaran, pembiayaan dan pemasaran ini jelas menunjukkan perancangan yang menyeluruh dalam membangunkan sektor pertanian.

Secara keseluruhannya, kerjasama erat antara kerajaan negeri dan agensi pelaksana seperti PPNS diyakini mampu memodenkan sektor pertanian Sabah, meningkatkan daya tahan industri serta memastikan bekalan makanan negeri terus terjamin dalam jangka panjang.

- Advertisement -spot_img

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here