Projek ECRL di empat negeri mencapai 65 peratus kemajuan – Anthony Loke

Date:

Share post:

HULU SELANGOR: Kemajuan keseluruhan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang merangkumi empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor sudah mencapai lebih 65 peratus setakat bulan lalu, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau berkata, projek itu juga sudah memasuki fasa baharu pembinaan sejak tahun lalu dengan kerja infrastruktur merangkumi pemasangan rasuk jejambat, pemasangan landasan, pembinaan stesen dan pembinaan depot kereta api.

“Untuk Selangor, projek ECRL mencatat kemajuan melebihi 26 peratus setakat April lalu iaitu sejajar dengan tarikh penyiapan jajaran ECRL dari Gombak ke Pelabuhan Klang pada Disember 2027 dan pengoperasian bermula Januari 2028.

“Rangkaian ECRL di Selangor yang hampir 120 kilometer menetapkan sebanyak lima stesen iaitu stesen Terminal Bersepadu Gombak, Kapar dan Jalan Kastam bagi tujuan penumpang sahaja, manakala stesen Bandar Serendah dan Puncak Alam adalah stesen gabungan penumpang dan kargo,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Menyantuni Ekonomi, Sosial, Rakyat dan Alam Sekitar (MESRA) ECRL Karnival Kerjaya ECRL di Dewan Dato Abdul Hamid, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), Mohd Hasry Nor Mohd.

Loke berkata, pihaknya yakin MESRA ECRL yang berteraskan karnival kerjaya dapat dilaksanakan dengan jayanya kerana banyak pengisian dan peluang pekerjaan yang disediakan menerusi infrastruktur nasional itu.

“Antara yang menarik, termasuk sesi temuduga terbuka Program Latihan Kemahiran Industri ECRL atau PLKI-ECRL yang dijalankan bagi menawarkan latihan serta jawatan seperti juruelektrik, juruteknik tapak binaan, pembantu jurutera bangunan dan mekanik jentera berat.

“Pelatih PLKI-ECRL yang berjaya menamatkan latihan kelak akan terus ditawarkan peluang pekerjaan di bawah Projek ECRL.

“Usaha ini adalah untuk memastikan bilangan tenaga pekerja tempatan yang mencukupi untuk Projek ECRL pada masa terdekat dan akan meningkatkan tahap kebolehpasaran mereka dalam sektor pembinaan dan industri rel di masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif PLKI-ECRL itu dijangka akan melatih seramai 1,800 pelatih tempatan untuk turut serta dalam fasa pembinaan Projek ECRL serta 3,200 pelatih tempatan bagi fasa pengoperasian dan penyelenggaraannya kelak.

“Pengambilan pelatih-pelatih PLKI-ECRL adalah terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

PROBEST beri manfaat kepada 9,529 usahawan belia dalam sektor pertanian moden

program yang diperkenalkan sejak 2016 oleh KPKM itu merupakan kerjasama strategik Agrobank dengan beberapa universiti tempatan bertujuan bagi menggalakkan penyertaan golongan belia dalam bidang pertanian moden

Kerajaan terus komited tangani kos sara hidup – PM Anwar

“Tetapi jika ditanya adakah saya puas hati? Saya tidak puas hati kerana kita masih hadapi masalah kos sara hidup di sesetengah tempat yang menekan kehidupan,”

Kerajaan Sabah beri sokongan dan kerjasama kekang pencerobohan

usaha itu juga bagi mengekang anasir keganasan (fahaman pelampau), kebanjiran pendatang tanpa izin (PTI) dan jenayah rentas sempadan khususnya di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone)

Kerajaan bebaskan 142,510 individu daripada senarai bankrap – PM Anwar

Daripada lebih 142,500 individu, syarikat dan keluarga yang terapung (nasibnya), tanpa jelas masa depan dan kehidupan mereka, itu bermakna mereka boleh kembali membantu memacu ekonomi