
Usaha memperluaskan amalan pertanian berkualiti melalui pensijilan MyGAP merupakan langkah penting dalam memastikan keselamatan makanan serta meningkatkan nilai hasil tempatan di Sabah. Kejayaan Owan’s Farm di Kampung Buang Sayang, Papar yang mengamalkan sistem fertigasi dan hidroponik serta memperoleh pensijilan MyGAP membuktikan bahawa pengeluaran hasil pertanian yang mematuhi piawaian ketat, penggunaan bahan kimia minimum dan kaedah mesra alam mampu menghasilkan produk yang lebih selamat dan berkualiti.
Pendekatan ini wajar dijadikan penanda aras kepada pengusaha lain, selain usaha mendidik pengguna supaya memilih produk yang telah disahkan oleh pihak berkuasa seperti Jabatan Pertanian. Langkah ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran terhadap kualiti makanan, malah mampu mewujudkan permintaan terhadap hasil pertanian yang lebih selamat dan bernilai tinggi.
Sokongan berterusan kerajaan terhadap sektor hidroponik dan fertigasi juga dilihat mampu membantu pengusaha memasarkan hasil pada harga yang lebih baik berbanding kaedah tradisional, sekali gus meningkatkan pendapatan petani. Dalam masa sama, pengukuhan aspek biosekuriti serta penguatkuasaan terhadap import adalah langkah penting bagi melindungi industri tempatan, walaupun cabaran seperti penyeludupan produk pertanian masih perlu ditangani secara lebih tegas melalui kerjasama antara agensi penguat kuasa.
Secara keseluruhan, pendekatan bersepadu yang melibatkan peningkatan kualiti pengeluaran, kesedaran pengguna dan penguatkuasaan dilihat mampu memperkukuh sektor pertanian Sabah serta menjamin bekalan makanan yang selamat dan mampan untuk jangka panjang.
