KOTA KINABALU – Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bersedia dengan sebarang tindakan yang diambil ke atas kesemua mereka yang bertindak keluar parti.
ADUN Sindumin, Datuk Yusof Yacob berkata, kesemua mereka juga dikatakan telah menerima surat tunjuk sebab atas tindakan itu.
“Kami telah berbincang dan lebih daripada bersedia (dengan sebarang tindakan). Apa pun keputusan dan mereka telah menerima surat tunjuk sebab dan akan dihadapkan ke pengadilan.
“Dan hari ini, memutuskan telahpun lebih awal keluar daripada UMNO kerana tahu dan juga kemungkinan akan dipecat atau digantung,” katanya dalam sidang media di Kota Kinabalu pada Selasa.
Malah ketika ditanya sama ada tindakan mereka ini ada kaitan dengan krisis atau usaha menolak Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri, Yusof berkata, keputusan ini tiada kaitan dengan pergolakan tersebut.
“Tiada, ini adalah kerelaan kami. Cukup-cukuplah dengan krisis-krisis yang ada dan kita melihat jauh ke hadapan demi kestabilan politik, pembangunan dan rakyat Sabah.
“Rakyat tidak mahu ada krisis. Malah kita inginkan ialah kebajikan rakyat dan isu-isu melibatkan mereka seperti (harga barang turun, jalan rakyat) dan mereka mahukan pembangunan serta peluang pekerjaan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Yusof berkata, beberapa lagi pemimpin UMNO akan mengumumkan keluar parti dan menyertai Gagasan Rakyat.
Difahamkan ia termasuk bekas ADUN Kemabong, Datuk Jamawi Jaafar.
“Akan banyak lagi gerakan-gerakan atau mereka yang menyertai (Gagasan Rakyat). (Mereka) akan keluar daripada kepompong lama untuk menyertai dan bersama-sama kita.
“Saya juga sebagai wakil jurucakap di sini untuk memaklumkan bahawa ramai lagi selepas ini (keluar),” katanya.
BACA JUGA: