Kerajaan berhasrat kembalikan Malaysia sebagai hab industri koko di Asia

Date:

Share post:

KOTA KINABALU: Kerajaan melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi berhasrat untuk meletakkan kembali kedudukan Malaysia sebagai hab industri koko di Asia.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin berkata, sebelum ini Malaysia pernah menghasilkan pengeluaran biji koko dari kawasan seluas 240,000 hektar.

Namun jelasnya, kini hanya sekitar 6,000 hektar sahaja kawasan penanaman koko di seluruh negara yang mana Sabah menyumbang 60 peratus dari keseluruhan hasil pengeluaran biji koko.

Menurutnya, Malaysia khususnya industri koko di Sabah mempunyai potensi untuk mengembalikan pencapaian hasil pengeluaran biji koko yang tinggi sekali gus menjadi pengeluar utama koko di Asia.

“Waktu sekarang juga dilihat amat sesuai dalam memperkasakan industri koko memandangkan harga biji koko dijangka  tidak akan turun.

“Sekarang nilai harga bagi satu tan biji koko adala RM46,000 berbanding nilai tanaman yang lain. Justeru ia mampu untuk menghasilkan rangkaian bekalan kepada industri pengisaran dan pengilangan biji koko,” katanya kepada medis selepas merasmikan Majlis Pra Pelancaran Pameran Koko Antarabangsa Malaysia (MICF) 2025 di sini hari ini.

Beliau berkata, melalui MICF 2025, pihaknya yakin matlamat untuk meletakkan kembali kedudukan Malaysia sebagai hab industri koko di Asia boleh dicapai.

Menurutnya, ia bukanlah pameran produk coklat semata-mata, tetapi lebih dari itu kerana ia melibatkan pelbagai pihak dari semua rangkaian bekalan sama ada huluan ataupun hiliran.

Dalam pada itu jelasnya, industri huluan dan hiliran koko perlu terus dipergiatkan memandangkan Malaysia masih terlalu bergantung kepada bekalan import biji koko.

Chan berkata, lebih 90 peratus produk berasaskan koko yang dihasilkan di negara ini adalah dari sumber bekalan biji koko import.

Katanya, jumlah itu juga meletakkan Malaysia antara negara kelima tertinggi dalam industri pengisaran biji koko.

Menurutnya, selepas melalui proses pengisaran, barulah produk berkenaan dieksport, namun nilai dagangan bagi kedua-dua bekalan import dan eksport itu tidak banyak bezanya sekitar RM9 bilion.

“Itulah sebabnya, melalui MICF 2025, kita mahu tekankan kepada industri huluan memandangkan industri hiliran bagi koko semakin membangun di negara ini,” jelasnya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, pasaran dunia sekarang sedang menghadapi kekurangan biji koko yang teruk hingga membawa kepada gangguan bekalan dan permintaan.

Menurutnya, ia menyebabkan harga koko dunia mencapai tahap tertinggi ditambah lagi negara pengeluar utama koko seperti Ivory Coast dan Ghana dilanda penyakit pada tanaman koko.

“Ini mencipta peluang bagi Malaysia untuk mengkaji semula dan menghidupkan semula aktiviti huluan dengan pelbagai program untuk pekebun koko.

“Pada masa sama, sekiranya perlu, syarikat perladangan koko juga digalakkan menyertai semula Lembaga Koko malaysia dalam industri penanaman koko.

“Aktiviti sebegini tepat pada masanya dan memberi manfaat kepada pelbagai pihak yang terlibat dalam memastikan bekalan biji koko yang stabil tidak hanya bergantung pada import,” katanya.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Koko Malaysia Datuk Matbali Musah dan Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia Datuk Dr. Ramle Kasin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Sabah dan Politik Warlord: Demokrasi Dibelenggu, Negeri Terus Terikat

Di celah gemuruh perjuangan autonomi, suara pembangunan luar bandar, dan retorik kemajuan rakyat, tersembunyi satu kebenaran yang pahit...

Hajiji Beri Bayangan Pembubaran DUN Selepas Perhimpunan Gagasan Rakyat

Nampaknya pertembungan politik di Sabah semakin tajam menjelang kemungkinan PRN ke-17. Kenyataan Hajiji yang menyokong pandangan Armizan agar...

Daya Tahan Bukan Soal Tak Jatuh, Tapi Soal Berapa Kali Sanggup Bangkit Selepas Jatuh

Hidup ini bukan pentas untuk manusia sempurna. Ia bukan jalan yang rata, tidak juga bebas dari luka dan...

SST Diperluas: Antara Harapan, Ketelusan dan Tanggungjawab Negara

Ketika dunia masih bergelut dengan kesan pasca pandemik, inflasi makanan, konflik geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi global, Malaysia sedang...