Peraturan lebih ketat berhubung vape bakal berkuatkuasa – Dr Dzulkefly

Date:

Share post:

KUALA LUMPUR: Selepas beberapa kali tertangguh, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata peraturan lebih ketat berhubung vape bakal berkuat kuasa mulai bulan depan.

Dalam jawapan kepada komen pengguna di X, Dr Dzulkefly berkata pihaknya sedang melakukan yang terbaik untuk memastikan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) & Perintah 2b diluluskan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Antara peraturan yang termaktub di bawah akta itu termasuk berkaitan pendaftaran, penjualan, pembungkusan dan pelabelan serta satu perintah berkaitan larangan merokok di tempat awam.

Katanya, semua peraturan dan perintah ini akan dikuatkuasakan serentak dengan Akta 852 termasuk rokok elektronik.

“Tiga peraturan sudah diluluskan oleh AGC dengan dua lagi peraturan dan satu perintah tambahan kini dalam proses kelulusan.

“Peraturan dan perintah akan dikuatkuasakan bersama dengan Akta 852 pada Ogos 2024, apabila semuanya berada dalam keadaan teratur. Insya-Allah, dengan izin Tuhan, tiada lagi kelewatan,” katanya dalam bebenang hantaran itu.

Beliau mengulas mengenai kenyataan beberapa pihak yang mempersoalkan kelewatan penguatkuasaan Akta 852 yang masih lagi tertangguh pelaksanaannya, termasuk daripada pihak Persatuan Farmasi Malaysia (MPS).

Semalam, Presiden MPS, Amrahi Buang, dilaporkan berkata penguatkuasaan akta terbabit sepatutnya bermula awal Jun tetapi hingga kini masih belum dilaksanakan kerajaan.

Justeru, Amrahi mempersoalkan, apakah halangan sebenar penguatkuasaan akta terbabit, yang didakwa masih ‘tersangkut’ di pejabat Penasihat Undang-Undang (PUU) KKM.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata, beliau memahami keresahan pelbagai pihak berhubung kelewatan pelaksanaan penguatkuasaan Akta 852 terbabit.

“Saya benar-benar memahami keresahan (orang ramai) disebabkan kelewatan dalam pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) ini.

“Saya memohon empati anda bahawa KKM sedang berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan pengesahan AGC berhubung kelulusan peraturan dan perintah ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Dewan Rakyat akan bincangkan tahap kesediaan Kuala Lumpur bagi Kepengerusian ASEAN 2025

memandangkan isu banjir kilat masih belum diselesaikan dan boleh menjejaskan imej serta persiapan negara untuk acara berkenaan

Kerajaan akan memperluas TVET pastikan tenaga kerja mampu kendali teknologi canggih

Inilah cara Malaysia akan terus memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk pekerja mahir

Sasaran bina 500,000 unit Rumah Mampu Milik mencapai 89 peratus – KPKT

baki 56,741 unit RMM dijangka diselesaikan menjelang akhir Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) ini

Amaran hujan berterusan tahap waspada di Sabah dan Labuan

cuaca itu dijangka melanda Sabah yang membabitkan Pedalaman (Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat, Kudat dan Sandakan (Beluran) serta Wilayah Persekutuan Labuan