Masa depan lulusan SPM tanpa kredit yang perlu dirisaukan – Dr Asyraf

Date:

Share post:

KUALA LUMPUR: Masa depan lebih 280,000 calon yang gagal dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau hanya lulus tanpa kredit dalam mana-mana mata pelajaran perlu difikirkan, berbanding kuota Bumiputera di pusat matrikulasi.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata jumlah calon gagal itu belum termasuk 10,160 calon yang tidak hadir SPM dan purata lebih 30,000 murid setahun yang tidak mendaftar untuk mengambil peperiksaan itu.

“Ramai risau bila Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) umum semua lepasan SPM dengan 10A layak masuk Matrikulasi tanpa kira kaum, sedangkan beliau hanya memberikan jaminan yang sememangnya dilaksanakan sejak dulu lagi. Bahkan, kuota Bumiputera untuk masuk ke Pusat Matrikulasi tetap kekal terjamin.

“Apa yang patut dirisaukan adalah lebih 280,000 yang gagal SPM atau hanya lulus tanpa kredit. Mereka ini yang tercicir dan tidak layak masuk matrikulasi,” kata beliau melalui Facebooknya, hari ini.

Perdana Menteri hari ini menegaskan kuota Bumiputera akan terus dipertahan biarpun kerajaan mengumumkan keputusan memberi jaminan tempat di matrikulasi kepada calon cemerlang SPM tanpa mengira kaum atau latar belakang.

Perdana Menteri berkata, sejak pengumuman itu dibuat, keputusan terbabit menjadi bualan dan polemik serta menghangatkan suhu politik.

Katanya, kuota itu tetap dikekalkan kerana itu termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang membabitkan kedudukan istimewa orang Melayu serta kaum Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mampu menjadi jawapan kepada hala tuju lepasan SPM yang gagal dan tidak mendapat tempat di Pusat Matrikulasi.

Katanya, Dasar TVET Negara diwujudkan, dengan Majlis TVET Negara yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi menyelaras 1,345 institusi TVET di bawah 12 kementerian, yang menawarkan lebih 4,000 bidang kemahiran TVET dengan peluang penempatan untuk lebih 250,000 tempat.

MARA sendiri katanya, mempunyai institusi TVET terbanyak, dengan 270 institusi, termasuk GiatMARA, Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) sehingga Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

“Hari ini, negara sudah mengiktiraf TVET sebagai aliran pendidikan perdana dan tidak lagi memerlukan SPM saja sebagai syarat minimum untuk bekerja.

“Dengan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3, pelajar boleh sambung (pengajian) peringkat diploma, manakala SKM Tahap 4 boleh terus sambung ijazah sarjana muda tanpa perlu mengambil SPM,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Dewan Rakyat akan bincangkan tahap kesediaan Kuala Lumpur bagi Kepengerusian ASEAN 2025

memandangkan isu banjir kilat masih belum diselesaikan dan boleh menjejaskan imej serta persiapan negara untuk acara berkenaan

Kerajaan akan memperluas TVET pastikan tenaga kerja mampu kendali teknologi canggih

Inilah cara Malaysia akan terus memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk pekerja mahir

Sasaran bina 500,000 unit Rumah Mampu Milik mencapai 89 peratus – KPKT

baki 56,741 unit RMM dijangka diselesaikan menjelang akhir Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) ini

Amaran hujan berterusan tahap waspada di Sabah dan Labuan

cuaca itu dijangka melanda Sabah yang membabitkan Pedalaman (Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat, Kudat dan Sandakan (Beluran) serta Wilayah Persekutuan Labuan