Potensi pelaburan baharu RM45.4 bilion buat Malaysia dari Jerman – Tengku Zafrul

Date:

Share post:

Berlin: Malaysia merekodkan minat pelaburan baharu dengan potensi nilai RM45.4 bilion hasil mesyuarat meja bulat dan pertemuan satu dengan satu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama peneraju perniagaan Jerman, di sini hari ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata potensi itu merangkumi pelaburan baharu, selain untuk peluasan dan projek diversifikasi.

Pelaburan berpotensi ini hadir melalui pelbagai industri antaranya semikonduktor, aeroangkasa, peranti perubatan, kimia dan perkhidmatan.

Tengku Zafrul berkata, Perdana Menteri turut mengadakan mesyuarat satu dengan satu bersama lima syarikat iaitu X-Fab Silicon Foundries, Melexis, Infineon Technology, Schott AG dan Airbus, yang memberikan kemas kini mengenai status projek pelaburan mereka di Malaysia.

X-Fab, Melexis, dan Schott AG berkata, projek mereka kini dalam pembinaan dan menjangkakan fasiliti mereka akan mula beroperasi dalam tahun ini.

“Pelaburan diluluskan untuk projek-projek ini berjumlah RM4.45 bilion,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat meja bulat dengan pemain utama industri Jerman, hari ini.

Beliau berkata, 38 peneraju industri menghadiri mesyuarat berkenaan dan mereka hadir dari seluruh Jerman, termasuk Stuttgart, Munich dan Frankfurt.

“Ada juga dua syarikat Belgium dan satu syarikat Perancis,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, terdapat petunjuk kukuh bahawa syarikat-syarikat Jerman itu positif dan tetap komited dengan Malaysia sebagai destinasi pelaburan.

“MITI dan MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia) akan terus membantu dan memudahkan minat pelabur Jerman serta negara-negara Eropah lain,” katanya.

Anwar sebelum ini mengadakan mesyuarat meja bulat bersama peneraju-peneraju industri Jerman sebagai sebahagian daripada lawatan enam hari beliau ke Jerman.

Ia termasuklah wakil-wakil dari Schott AG; Siemens AG; B. Braun; X-Fab Silicon Foundries, Melexis, Volkswagen; Oldenburger Interior; PCC SE; Oryx Stainless; Fresenius; DELO Industries Klebstoffe; Airbus Asia Pacific serta Airbus Malaysia; Infineon Technology, DHL; Bayer AG dan lain-lain.

Dalam pertemuan satu dengan satu pula, Anwar mengadakan perbincangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat semikonduktor mikro-elektrik Melexis,Marc Biron; dan Rudi de Winter yang juga CEO X-FAB Silicon Foundries, syarikat aplikasi semikonduktor analog/campuran isyarat.

Selepas pertemuan Perdana Menteri dengan Canselor Jerman, Olaf Schulz di Federal Chancellery semalam, lebih banyak perniagaan Jerman dijemput untuk memanfaatkan lokasi strategik Malaysia di Asia Tenggara dan infrastruktur kukuh negara untuk dijadikan destinasi pelaburan pilihan.

Anwar berkata, Jerman sudah melabur hampir AS$15 bilion (RM70.24 bilion) di Malaysia, dengan menyatakan syarikat-syarikat Jerman seperti Infineon Technologies AG menjadikan Malaysia sebagai hab pusat kecemerlangan dan latihan.

Sejak tahun 2000 lagi, Jerman sudah menjadi rakan perdagangan terbesar Malaysia dalam kalangan ahli Kesatuan Eropah, manakala Malaysia adalah rakan perdagangan terbesar Jerman di ASEAN.

Pada 2023 sahaja, perdagangan Malaysia dengan Jerman meningkat sebanyak 5.9 peratus kepada RM63.45 bilion (AS$13.90 bilion) berbanding dengan RM59.87 bilion (AS$13.62 bilion) pada tahun 2022.

Anwar yang kali pertama melawat Jerman dan Eropah selepas menjadi Perdana Menteri, menyusun beberapa siri program sepanjang enam hari beliau di Berlin dan Hamburg.

Antara program-program itu adalah pertemuan dengan pemimpin kerajaan Jerman, wakil-wakil perniagaan besar serta peneraju industri.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/03/1069454/potensi-pelaburan-baharu-rm454-bilion-buat-malaysia-dari-jerman-tengku

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

PROBEST beri manfaat kepada 9,529 usahawan belia dalam sektor pertanian moden

program yang diperkenalkan sejak 2016 oleh KPKM itu merupakan kerjasama strategik Agrobank dengan beberapa universiti tempatan bertujuan bagi menggalakkan penyertaan golongan belia dalam bidang pertanian moden

Kerajaan terus komited tangani kos sara hidup – PM Anwar

“Tetapi jika ditanya adakah saya puas hati? Saya tidak puas hati kerana kita masih hadapi masalah kos sara hidup di sesetengah tempat yang menekan kehidupan,”

Kerajaan Sabah beri sokongan dan kerjasama kekang pencerobohan

usaha itu juga bagi mengekang anasir keganasan (fahaman pelampau), kebanjiran pendatang tanpa izin (PTI) dan jenayah rentas sempadan khususnya di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone)

Kerajaan bebaskan 142,510 individu daripada senarai bankrap – PM Anwar

Daripada lebih 142,500 individu, syarikat dan keluarga yang terapung (nasibnya), tanpa jelas masa depan dan kehidupan mereka, itu bermakna mereka boleh kembali membantu memacu ekonomi