BN-PH masih berharap di Terengganu untuk PRN

Date:

Share post:

PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November lalu menyaksikan Perikatan Nasional (PN) yang menggunakan lambang bulan termasuk calon tunggal Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyapu bersih lapan kerusi Parlimen di Terengganu.

Pertandingan empat penjuru itu menyaksikan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Gerakan Tanah Air (GTA) gagal memenangi mana-mana kerusi sama ada Parlimen Besut, Setiu, Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Dungun atau Kemaman.

Walaupun PRU15 sudah tiga bulan berlalu, namun suhu politik di Terengganu masih lagi hangat memandangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini masih belum bubar dan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan berlangsung dalam tahun ini.

Pas bersama PN membuktikan kemampuan mereka hasil kemenangan solid di negeri ini dan dilihat sebagai gelombang tsunami hijau yang meranapkan UMNO dengan jumlah majoriti besar di semua lapan Parlimen.

Dengan perkembangan itu, Pas dikatakan berada dalam kedudukan selesa untuk berdepan PRN walaupun parti itu terpalit dengan isu ketika kempen PRU15 hingga UMNO memfailkan petisyen terhadap kemenangan PN di Parlimen Marang, Kemaman dan Kuala Terengganu.

Pengerusi PN Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini meletakkan sasaran untuk parti memenangi kesemua 32 kerusi DUN di Terengganu yang dipertandingkan dalam PRN ini. Ia sekali gus merealisasikan hasrat mengekalkan pembentukan kerajaan negeri pimpinan PN untuk tempoh satu penggal lagi.

Naib Presiden Pas itu berkata, berdasarkan reaksi positif rakyat dan keputusan PRU15, beliau yakin dapat mempertahankan 22 kerusi Pas dan merampas 10 kerusi milik UMNO.

Berbanding Pas, ramai pemerhati sebenarnya lebih tertarik untuk melihat apakah strategi dan langkah yang diambil UMNO serta BN Terengganu supaya kembali bangkit selepas prestasi teruk parti itu dalam PRU15.

Berdasarkan ramalan ketika ini, UMNO dijangka hanya mampu mempertahankan dua daripada 10 kerusi DUN yang dimilikinya sekarang iaitu kawasan yang dimenangi dengan majoriti lebih 3,000 undi. Tapi jika tersilap langkah dan percaturan, parti itu berdepan risiko gagal memperoleh sebarang kerusi.

Oleh kerana itu, timbul persoalan adakah kerjasama antara BN dan PH susulan hubungan Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat akan memberi kejutan pada PRN Terengganu nanti?

Setakat ini, dikhabarkan perbincangan agihan kerusi secara rasmi antara dua parti berkenaan masih belum dibuat.

Namun, Pengerusi PH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad menjelaskan, ia dijangka dilakukan dalam masa terdekat.

Beliau turut menyifatkan kerjasama antara BN dan PH adalah penting bagi memungkinkan berlakunya peralihan kuasa daripada Pas kepada Kerajaan Perpaduan.

Raja Kamarul Bahrin berkata, pihaknya sedar BN memiliki lebih banyak kelebihan memandangkan parti itu mempunyai pengalaman lama dan pengaruh yang luas di negeri ini.

Sehubungan itu, katanya, PH Terengganu sedia dan bersifat terbuka kepada sebarang perbincangan bagi memastikan Kerajaan Perpaduan dapat dibentuk di negeri ini.

Hakikatnya, kerjasama itu bukan mudah untuk direalisasikan tapi tidak mustahil boleh menjadi kenyataan. Bak kata orang, dalam politik apa-apa sahaja boleh berlaku!

Sebagai negeri lebih 90 peratus pengundinya Melayu, kerjasama dan agihan kerusi antara BN dan PH perlu dilatari dengan sikap tolak ansur, kesepakatan serta perpaduan yang tinggi.

Suka atau tidak, pemimpin, ahli dan penyokong kedua-dua parti harus melupakan segala ‘sengketa’ lama, sebaliknya berganding bahu supaya persiapan berdepan Pas dalam gelanggang PRN berada pada tahap terbaik.

Jika usaha ini gagal, BN dan PH dijangka berdepan pelbagai cabaran termasuk protes, tindakan cah keting dan sabotaj parti sendiri akibat tidak puas hati yang akhirnya membawa kepada kekalahan.

Dalam soal ini, kita tunggu sahaja keberkesanan formula dan magis hasil gabungan kerjasama BN-PH dalam menghentikan gelombang tsunami hijau di Terengganu pada PRN yang dijangka diadakan selepas Jun nanti.

BACA JUGA:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Malaysia sedia bantu Palestin baik pulih sistem bekalan air bersih

Mereka melahirkan harapan agar Malaysia dapat memberikan pelbagai bentuk bantuan terutama bantuan teknikal selepas krisis semasa

28 Jun tarikh pemilihan presiden baharu Iran

Perkara 131 Perlembagaan Republik Islam Iran mewajibkan pembentukan sebuah majlis untuk menguruskan hal ehwal eksekutif negara untuk tempoh 50 hari dan persediaan untuk pilihan raya presiden.

ICC mohon waran tangkap Netanyahu, pemimpin Hamas

Undang-undang yang melindungi orang awam dalam peperangan telah dibangunkan lebih 100 tahun lalu dan ia terpakai di setiap negara di dunia, tanpa mengira sebab konflik.

Jadikan Sabah destinasi pelaburan yang menarik antara inisiatif Hala Tuju SMJ

"Ini kerana ia akan menyediakan platform kepada pelabur untuk terlibat sama dengan kerajaan khususnya berkaitan dengan pembangunan kini dan akan datang yang akan memperkasakan kemajuan Sabah, selain mengetahui bagaimana kerajaan negeri akan memudahkan serta menyokong semua pembangunan itu,"