KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini akan membincangkan mengenai tahap kesediaan Kuala Lumpur bagi Kepengerusian ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026, memandangkan isu banjir kilat masih belum diselesaikan dan boleh menjejaskan imej serta persiapan negara untuk acara berkenaan.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, perkara berkenaan dikemukakan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) kepada Perdana Menteri pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Pada sesi sama, Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) meminta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan langkah kementerian bagi memastikan insiden seperti langkah oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang melarang kakitangannya membuat kenyataan awam, tidak berulang semula.
Selain itu, V Ganabatirau (PH-Klang) bertanyakan Menteri Kerja Raya mengenai perancangan untuk membantu membendung insiden lubang benam di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi, khususnya di kawasan Klang.
Pada sesi soal jawab, Sivakumar Varatharaju Naidu (PH-Batu Gajah) meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan bila skim insurans sosial komprehensif akan dilancarkan bagi melindungi pekerja berpendapatan rendah.
Sementara itu, Datuk Seri Dr Jeffrey Gapari Kitingan (GRS-Keningau) bertanyakan Menteri Ekonomi berhubung rancangan dan program-program yang telah dan akan dilaksanakan kerajaan untuk membasmi kemiskinan tegar dan kemiskinan pada tahun ini di Sabah, khasnya di lapan daerah termiskin.
Selesai sesi itu, persidangan diteruskan dengan menyambung semula perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang Perbekalan 2025.
Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 berlangsung selama 35 hari hingga 12 Dis depan. – BERNAMA