Kerajaan akan memperluas TVET pastikan tenaga kerja mampu kendali teknologi canggih

Date:

Share post:


KUALA LUMPUR:
Kerajaan sedang memperluas Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memastikan tenaga kerja Malaysia mampu mengendalikan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI) dan robotik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sambil menyatakan kemajuan teknologi sahaja tidak mencukupi dan mengakui kekurangan tenaga kerja mahir, beliau berkata kerajaan komited untuk menangani isu berkenaan melalui program latihan yang mantap dan inisiatif peningkatan kemahiran.

“Inilah cara Malaysia akan terus memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk pekerja mahir,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) dan BuildXpo 2024 di sini hari ini.

Teks ucapan Perdana Menteri dibacakan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Setakat September 2024, Anwar berkata lebih 1.12 juta kakitangan telah berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) yang merupakan bukti profesionalisasi tenaga kerja.

Mengenai program berkenaan, Perdana Menteri berkata tema Envisioning the Future of Construction, bukan sahaja tepat pada masanya tetapi juga merupakan seruan jelas untuk memanfaatkan peluang besar bagi sektor pembinaan Malaysia dan ekonomi yang lebih luas.

Beliau berkata dunia berada di puncak era baharu dalam pembinaan dengan pendigitalan, kelestarian dan kerjasama akan menjadi pemacu utama kejayaan.

“Bersama-sama kita boleh memastikan Malaysia bukan sahaja kekal sebagai peneraju serantau tetapi muncul sebagai kuasa global dalam pembinaan, menetapkan piawaian untuk inovasi dan kecemerlangan,” katanya.

Acara anjuran CIDB malaysia, Kementerian Kerja Raya dan Qube Integrated yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam, dijangka menarik 15,000 pengunjung termasuk peneraju industri dan inovator dari seluruh dunia.

Menurut CIDB, BuildXpo 2024 menampilkan pelbagai produk dan perkhidmatan daripada pemain industri terkemuka, dengan 500 reruai dan 200 peserta pameran memenuhi ruang pameran berkeluasan hampir 10,000 meter persegi di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Selain pameran, ICW 2024 turut menganjurkan siri persidangan, termasuk Sidang Kemuncak Bandar Masa Depan dan Conference on Conflict Avoidance and Dispute Resolution.

-BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Sabah dan Politik Warlord: Demokrasi Dibelenggu, Negeri Terus Terikat

Di celah gemuruh perjuangan autonomi, suara pembangunan luar bandar, dan retorik kemajuan rakyat, tersembunyi satu kebenaran yang pahit...

Hajiji Beri Bayangan Pembubaran DUN Selepas Perhimpunan Gagasan Rakyat

Nampaknya pertembungan politik di Sabah semakin tajam menjelang kemungkinan PRN ke-17. Kenyataan Hajiji yang menyokong pandangan Armizan agar...

Daya Tahan Bukan Soal Tak Jatuh, Tapi Soal Berapa Kali Sanggup Bangkit Selepas Jatuh

Hidup ini bukan pentas untuk manusia sempurna. Ia bukan jalan yang rata, tidak juga bebas dari luka dan...

SST Diperluas: Antara Harapan, Ketelusan dan Tanggungjawab Negara

Ketika dunia masih bergelut dengan kesan pasca pandemik, inflasi makanan, konflik geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi global, Malaysia sedang...