KOTA KINABALU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bersama syarikat telekomunikasi sedang berusaha memulihkan perkhidmatan rangkaian yang terjejas melibatkan 41 menara pemancar di empat daerah di Sabah susulan situasi banjir yang berlaku di beberapa kawasan Pantai Barat Sabah sejak minggu lalu.
Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan berkata, 14 menara pemancar berjaya dipulihkan manakala 27 lagi masih belum dapat beroperasi sejak pagi Selasa.
“Daripada keseluruhan jumlah menara yang terjejas, sebanyak 34 menara pemancar terpaksa diputuskan bekalan elektrik oleh pihak Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) disebabkan faktor keselamatan.
“Lima menara pemancar terputus hubungan akibat jalan dinaiki air dan dua yang lain mengalami kerosakan peralatan elektronik,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan pecahan daerah, 13 daripada pemancar di Penampang sudah dibaik pulih dan 19 lagi masih belum beroperasi.
“Bagi Kota Kinabalu, satu pemancar kembali beroperasi dengan empat lagi masih dalam proses pembaikan manakala tiga menara pemancar di Tuaran belum beroperasi, begitu juga satu menara pemancar di Kota Marudu yang masih terjejas.
“Dalam perkembangan sama, satu daripada lima Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) turut terjejas dan tidak dibuka kepada orang ramai untuk sementara waktu sehingga keadaan kembali normal.
“Kerja-kerja pembersihan giat dijalankan bagi membolehkan pusat NADI di Kampung Sungai Damit, Tuaran boleh dibuka untuk operasi secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata, bagi memastikan liputan telekomunikasi di semua empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terus beroperasi dan berada dalam keadaan baik untuk kemudahan mangsa-mangsa banjir di PPS terbabit, pemantauan akan terus dilakukan oleh SKMM Sabah.
“Berdasarkan hasil ujian pemantauan kualiti liputan (QoS), tiada aduan berkaitan kualiti liputan yang diterima di PPS berkenaan setakat ini,” katanya.