Kerajaan sediakan pelbagai insentif, bantuan dan subsidi untuk rakyat

Date:

Share post:

KUALA LUMPUR – Kerajaan menyediakan pelbagai insentif, bantuan dan subsidi bagi mengurangkan beban rakyat yang terkesan antaranya disebabkan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata semua bantuan dan subsidi yang diberikan secara langsung dan tidak langsung adalah bagi mengurangkan beban rakyat bukan sahaja disebabkan kenaikan OPR, tetapi turut membabitkan peningkatan dalam inflasi dan kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sebagai contoh, kerajaan masih mengekalkan harga petrol RON95 pada kadar RM2.05 seliter yang mana kerajaan menampung kos subsidi yang besar bagi mengekalkan harga jualan bahan bakar itu.

“Selain itu, kerajaan turut menanggung subsidi elektrik dalam usaha mengurangkan beban rakyat. Pada masa sama, bantuan tunai kepada rakyat masih lagi diberikan keutamaan oleh kerajaan melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

“Kerajaan sedar limpahan kenaikan OPR akan memberi kesan kepada rakyat,” katanya.

OPR negara ditentukan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) yang bertindak di bawah Akta Bank Negara 2009.

Perdana Menteri berkata demikian bagi menjawab soalan bertulis Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan apakah bentuk bantuan yang diperuntukkan oleh kementerian bagi membantu rakyat yang mengalami masalah kewangan akibat daripada peningkatan OPR yang mampu mengakibatkan mereka diisytihar muflis.

Anwar berkata peminjam yang menghadapi kesulitan kewangan juga boleh mendapatkan bantuan dan khidmat nasihat daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) seperti Program Pengurusan Kredit (atau Debt Management Programme, DMP) dan Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (atau Small Debt Resolution Scheme, SDRS).

Beliau berkata terutamanya untuk peminjam individu, Program Pengurusan Kredit dapat membantu peminjam untuk menstrukturkan semula pinjaman sedia ada dan membolehkan peminjam untuk terus membayar balik pinjaman.

“Peminjam juga boleh menghubungi institusi kewangan masing-masing untuk menstruktur semula bayaran balik pinjaman mereka melalui pengurangan ansuran bulanan dan pelanjutan tempoh bayaran balik yang bersesuaian dengan keadaan kewangan mereka.

“Ini membolehkan institusi kewangan untuk menawarkan pakej bayaran balik pinjaman yang sesuai dengan keadaan dan situasi kewangan peminjam bagi membantu mereka ketika menghadapi kesulitan kewangan,” katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan melalui BNM mengeluarkan Garis Panduan Amalan Pembiayaan Bertanggungjawab.

Garis panduan itu menghendaki institusi kewangan untuk memastikan peminjam yang menghadapi kesulitan dalam membayar balik pinjaman dilayan dengan adil dan diberi pertimbangan yang sewajarnya.

Tindakan undang-undang adalah jalan penyelesaian yang terakhir oleh institusi kewangan, setelah segala usaha pemulihan lain dilakukan untuk mendapatkan balik pinjaman yang telah diberi kepada peminjam.

Selain itu, AKPK dengan kerjasama institusi kewangan telah melaksanakan inisiatif baharu iaitu mengeluarkan notis kepada peminjam untuk mendapatkan bantuan penjadualan semula/penstrukturan pinjaman dengan institusi kewangan atau AKPK sebelum institusi kewangan meneruskan sebarang Notis Kebankrapan.

“Inisiatif ini membantu peminjam untuk mendapatkan bantuan daripada institusi kewangan atau AKPK, sekali gus bertujuan untuk mengurangkan kadar kebankrapan,” katanya.

BACA JUGA:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

PDRM mahu bina PULAPOL serba moden di Sabah

PDRM dalam rancangan jangka panjang akan memindahkan PULAPOL Kota Kinabalu ke satu kawasan di Tuaran yang mana tapak bagi pembinaannya sudah dikenal pasti dan kita hanya menunggu bajet dari kerajaan bagi merealisasikan rancangan ini

JAKIM pertimbang cadangan untuk wajibkan sijil halal bagi restoran

Apabila katakan kita nak mewajibkan semua (restoran) ada sijil halal, beberapa akta ataupun undang-undang itu perlu perlu dipinda

Kerajaan Sabah tubuh Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan

Keputusan untuk menubuhkan jawatankuasa khas ini adalah disebabkan oleh kes-kes meluas kanak-kanak yang dilahirkan di Sabah tanpa dokumen dan kad pengenalan (IC) yang menyebabkan mereka menghadapi masalah seperti pergi ke sekolah. Selalunya, perkara ini disebabkan oleh kecuaian ibu bapa mereka

Keunikan Sabah dari sudut perpaduan perlu dipertahankan

Ini adalah aset yang sangat penting khususnya di Sabah dan hasil kepelbagaian ini lah yang menyumbang dalam membangunkan negeri ini serta turut membantu dalam mengekalkan keamanan