KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah semalam memeterai surat persefahaman (LoU) dengan PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB) dan E&P Malaysia Venture (EPMV) berkaitan penyusunan Pilihan Semula Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) berkaitan cari gali minyak dan gas di Blok SB409.
Menerusi LoU itu, kerajaan negeri melalui syarikat milik penuhnya, SMJ Sdn Bhd (SMJSB) akan ditawarkan satu Pilihan Semula sehingga 20 peratus faedah penyertaan yang boleh dilaksanakan sejurus selesai komitmen kerja atau penemuan komersial, mana yang lebih awal.
Blok SB409 yang terletak di luar pesisir barat daya Sabah dengan keluasan 14,556 kilometer persegi dianugerahkan kepada PCSB dan EPMV oleh PETRONAS ketika Pusingan Pembidaan Malaysia (MBR) 2022.
LoU berkenaan ditandatangani di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SMJSB, Dr Dionysia Aloysius Kibat; CEO PCSB, Hasliza Othman dan Ketua EPMV, Aliff Anwar, semalam.
Menerusi satu kenyataan, kerajaan Sabah menyifatkan LoU itu sebagai pencapaian terbaru kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas menandatangani Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan PETRONAS pada 7 Disember 2021.
CCA berkenaan membolehkan Sabah melalui SMJSB meningkatkan perkongsian perolehan, pembabitan dan suara yang lebih besar dalam pengeluaran minyak dan gas serta nilai rantaiannya di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor memberi jaminan CCA berkenaan akan mewujudkan persekitaran lebih inklusif bagi industri minyak dan gas di Sabah termasuk di luar pesisir dan atas pesisir.
Katanya, menjadi aspirasi kerajaan negeri supaya Sabah mendapat lebih banyak daripada pengeluaran minyak dan gas di negeri ini.
“Kerajaan negeri juga akan meneruskan lebih banyak perjanjian dengan PETRONAS yang akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.
BACA JUGA: