Penjawat awam kongsi rasa syukur terima gaji pertama SSPA

Date:

Share post:

KUALA LUMPUR: Penjawat awam yang memilih Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) hari ini menerima kenaikan gaji pertama selepas pelarasan di bawah skim itu.

Sebahagian daripada mereka meluahkan rasa gembira dan menzahirkan kesyukuran, selain berterima kasih kepada Kerajaan MADANI atas pelaksanaan pelarasan gaji itu, yang dilakukan selepas 12 tahun tanpa semakan.

Seorang penjawat awam, Desmi Hartati Anuar, menyifatkan pelarasan gaji terbabit sebagai rezeki buat anak pertamanya selepas hampir 15 tahun menanti untuk bergelar ibu.

“Anak saya lahir pada 19 Ogos 2024, dan hari ini genap usianya empat bulan. Suami saya juga seorang penjawat awam, dan kami berharap dapat menambah simpanan pendidikan anak kami,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Guru berusia 42 tahun itu turut berharap kenaikan gaji tersebut dapat meringankan beban kewangan bulanan keluarganya, terutama selepas pembelian rumah baru-baru ini.

Bagi Netty Muhalizza Mohd Fadzil pula, pelarasan gaji itu dianggap tepat pada masanya lebih-lebih lagi untuk penjawat awam yang mempunyai anak yang sedang bersekolah.

“Minggu depan cuti sekolah bermula, jadi ramai ibu bapa yang mungkin perlu membuat persediaan untuk sesi persekolahan baharu Januari nanti. Selain itu, pasti ada juga yang hendak merancang persiapan hari raya,” kata kakitangan di sebuah universiti awam itu.

Sementara itu, Kesatuan Kebangsaan Penolong Pegawai Farmasi Kerajaan Semenanjung Malaysia menerusi hantaran di laman Facebook menyatakan bahawa pelarasan gaji ini diharapkan mampu mengurangkan beban kewangan serta memastikan kelangsungan hidup penjawat awam dalam era yang semakin mencabar.

“Dengan kenaikan ini, diharap kita semua tidak meningkatkan gaya hidup, sebaliknya mengurangkan komitmen sedia ada dan berbelanja secara berhemah. Lebihan gaji boleh digunakan untuk menggembirakan ahli keluarga,” menurut kenyataan kesatuan itu.

Penjawat awam turut berkongsi keterujaan mereka menerima kadar gaji baharu melalui pelbagai hantaran di media sosial.

“Selamat pagi gaji SSPA. Ada manis,” kata Hilary Brody dalam laman Facebooknya.

“Alhamdulillah… terima kasih Kerajaan MADANI. Selain penjawat awam naik gaji, orang pencen pun naik juga kadar pencennya,” kata Zairi Suboh juga dalam laman Facebooknya.

Di bawah SSPA, pegawai Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang memilih skim berkenaan, akan menerima pelarasan gaji sebanyak 15 peratus secara berfasa iaitu lapan peratus bagi Fasa 1 pada Disember 2024, manakala tujuh peratus untuk Fasa 2 pada Jan 2026.

Sementara itu, bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT) akan menerima pelarasan gaji tujuh peratus dengan empat peratus bagi Fasa 1 dan tiga peratus bagi Fasa 2, menerusi SSPA yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Ogos lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Beberapa kawasan di Sandakan mengalami banjir kilat

Pasukan bomba bertindak menjalankan operasi memindahkan empat mangsa yang terperangkap di dalam rumah akibat banjir di kawasan kediaman mereka

Berwaspada hadapi banjir akibat luruan monsun di kawasan berisiko – Fahmi

Agensi Pengurusan Bencana Negara sentiasa bersedia untuk hadapi dan (begitu juga) bagi agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia

Genjatan senjata di Semenanjung Gaza dijadual bermula Ahad ini – PM Qatar

Mohammed turut memaklumkan bahawa Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS) "akan berusaha memastikan pelaksanaan perjanjian itu" dengan mekanisme bagi memantau pelaksanaannya serta menangani sebarang kemungkinan pelanggaran

AirAsia menyasarkan 5 juta tetamu diterbangkan ke Sabah tahun ini

Penambahbaikan ini dijangka akan menyumbang kepada peningkatan 35 peratus dalam jumlah penerbangan kepada lebih 51,500 penerbangan setahun serta pertumbuhan 43 peratus dalam kapasiti tempat duduk kepada 9.8 juta tempat duduk setahu