Pakistan kurniakan anugerah Nishan-e-Pakistan kepada Anwar

Date:

Share post:

ISLAMABAD: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dikurniakan anugerah awam tertinggi Pakistan, Nishan-e-Pakistan, oleh Presiden negara itu Asif Ali Zardari dalam satu majlis di Istana Presiden, Aiwan-e-Sadr, hari ini.

Terdahulu, Anwar yang dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke negara Asia Selatan itu, melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Zardari.

“(Anugerah ini) merupakan pengiktirafan tertinggi daripada kerajaan Pakistan atas kepimpinan Anwar dalam menggalakkan dan meningkatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Pakistan,” kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan Datuk Mohammad Azhar Mazlan kepada media Malaysia baru-baru ini.

Turut menghadiri majlis anugerah itu Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan anggota delegasi Malaysia yang lain.

Presiden Zardari kemudiannya meraikan Perdana Menteri Malaysia itu dalam majlis makan malam di Istana Presiden.

Sebelum ini, pada 2019, kerajaan Pakistan mengurniakan anugerah yang sama kepada Perdana Menteri Malaysia ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad.

Malaysia dan Pakistan menjalinkan hubungan diplomatik pada 1957 apabila negara mencapai kemerdekaan.

Pada 2019, Malaysia dan Pakistan menandatangani perjanjian Perkongsian Strategik.

Kuala Lumpur dan Islamabad juga memeterai Perjanjian Perkongsian Ekonomi Lebih Erat Malaysia-Pakistan (MPCEPA) pada 2008 yang merangkumi perdagangan barangan, pelaburan dan kerjasama teknikal.

Pakistan merupakan destinasi eksport ketiga terbesar Malaysia di Asia Selatan sejak 2016.

Perdagangan dua hala antara kedua-dua negara berjumlah RM6.43 bilion tahun lepas, membabitkan eksport dari Malaysia berjumlah RM4.39 bilion manakala import negara dari Pakistan bernilai RM2.04 bilion, dengan lebihan dagangan RM2.34 bilion memihak kepada Malaysia.

Bagi tujuh bulan pertama tahun ini, perdagangan dua hala antara Malaysia dan Pakistan berjumlah RM5.10 bilion. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Beberapa kawasan di Sandakan mengalami banjir kilat

Pasukan bomba bertindak menjalankan operasi memindahkan empat mangsa yang terperangkap di dalam rumah akibat banjir di kawasan kediaman mereka

Berwaspada hadapi banjir akibat luruan monsun di kawasan berisiko – Fahmi

Agensi Pengurusan Bencana Negara sentiasa bersedia untuk hadapi dan (begitu juga) bagi agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia

Genjatan senjata di Semenanjung Gaza dijadual bermula Ahad ini – PM Qatar

Mohammed turut memaklumkan bahawa Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS) "akan berusaha memastikan pelaksanaan perjanjian itu" dengan mekanisme bagi memantau pelaksanaannya serta menangani sebarang kemungkinan pelanggaran

AirAsia menyasarkan 5 juta tetamu diterbangkan ke Sabah tahun ini

Penambahbaikan ini dijangka akan menyumbang kepada peningkatan 35 peratus dalam jumlah penerbangan kepada lebih 51,500 penerbangan setahun serta pertumbuhan 43 peratus dalam kapasiti tempat duduk kepada 9.8 juta tempat duduk setahu