JANS beri tumpuan pembangunan bekalan air agar mencukupi hingga 50 tahun

Date:

Share post:

KOTA KINABALU: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) melalui setiap Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT) sentiasa membuat perancangan pembangunan bekalan air untuk jangka panjang bagi memastikan permintaan bekalan air adalah mencukupi bagi tempoh 30 hingga 50 tahun.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya berkata, jumlah permintaan bekalan air yang kian bertambah dari tahun ke tahun menyebabkan kesemua 89 Loji Rawatan Air (LRA) beroperasi pada tahap maksimum kapasiti reka bentuk termasuklah aset-aset sedia ada.

Katanya, faktor-faktor seperti pertambahan penduduk, pembangunan pesat kawasan baharu dan perkembangan aktiviti ekonomi baharu menyebabkan permintaan terhadap bekalan air terawat terus bertambah dan meningkat.

Bagaimanapun jelasnya, JANS juga berdepan dengan cabaran untuk menyediakan fasiliti bekalan air yang mencukupi seperti jaminan ketersediaan sumber air mentah, perubahan iklim cuaca, aset-aset yang kurang mampan dan kadar kehilangan air tidak berhasil yang tinggi.

“Pada masa ini, JANS mempunyai sebanyak 89 LRA di seluruh negeri dengan kapasiti reka bentuk sebanyak 1,534 juta liter sehari (JLH) dengan pengeluaran semasa sebanyak 1,420 JLH. 

“Selain itu, JANS juga menyelia dan mengoperasikan aset-aset air sebanyak tujuh empangan air, 1,126 rumah pam air mentah, air terawat termasuk pam penggalak, 161 set janakuasa dan 1,150 tangki simpanan air di seluruh daerah,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Dr. Aliakbar Gulasan (ADUN Dilantik) mengenai sasaran yang diletakkan oleh kerajaan supaya Sabah tidak lagi mengalami masalah air pada Persidangan DUN Sabah di sini hari ini.

Shahelmey berkata, melalui Program Pembiayaan Kerajaan Negeri dan Persekutuan, JANS turut melaksanakan beberapa Projek Pembangunan Bekalan Air Jangka Panjang dan berimpak tinggi.

Menurutnya, JANS turut merancang bagi menambah kapasiti bekalan air di daerah-daerah lain mengikut Zon Pantai Barat, Pantai Timur dan Pedalaman Sabah yang disenaraikan dalam Program Peruntukan Persekutuan untuk dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Selain merancang dan membina fasiliti bekalan air untuk jangka panjang dan berimpak tinggi, JANS juga melaksanakan projek-projek bagi meluaskan liputan bekalan air di kawasan-kawasan luar bandar seluruh Sabah di bawah Program Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Negeri Sabah.

“Ia dilaksanakan melalui Peruntukan Geran Persekutuan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

“Pelaksanaan projek-projek dibawah program ini dijangka dapat mencapai sasaran 90 peratus liputan bekalan air terawat bagi kawasan luar bandar di seluruh Sabah menjelang 2035,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

AirAsia menyasarkan 5 juta tetamu diterbangkan ke Sabah tahun ini

Penambahbaikan ini dijangka akan menyumbang kepada peningkatan 35 peratus dalam jumlah penerbangan kepada lebih 51,500 penerbangan setahun serta pertumbuhan 43 peratus dalam kapasiti tempat duduk kepada 9.8 juta tempat duduk setahu

PM Anwar tiba di London untuk lawatan kerja selama lima hari

Mereka juga dijangka membincangkan perkara berkaitan pendidikan tinggi, perubahan iklim dan tenaga boleh dibaharui, agrokomoditi dan pelancongan

Bantuan SARA dan STR mula diagih esok, peruntukan tertinggi dalam sejarah

Menjunjung prinsip kesaksamaan dan nilai manusiawi yang menghidupkan kerangka Ekonomi MADANI, penyusunan semula kewangan Kerajaan ini memastikan hasilnya dapat memanfaatkan rakyat terbanyak

496,541 pelajar akan terima BAP di seluruh Sabah

Diingatkan juga kepada semua pengetua dan guru besar, tiada sebarang potongan atau kutipan bayaran diambil daripada BAP ini. KPM berharap maklumat ini jelas dan difahami