Bersatu serah notis kekosongan luar jangka kerusi DUN Selat Klang

Date:

Share post:

SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor menyerahkan notis bertulis kekosongan luar jangka kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selat Klang kepada Speaker, Lau Weng San pada Jumaat.

Notis itu diserahkan Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kepada Weng San di pejabatnya di Wisma DUN Selangor di sini kira-kira jam 2.55 petang.

Mohamed Azmin berkata, penyerahan notis kekosongan kerusi itu dibuat menurut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

“Saya telah menarik perhatian Speaker DUN mengenai Perkara LXVA Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

“Apabila Speaker DUN menerima notis bertulis daripada mana-mana ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) mengenai berlakunya kekosongan luar jangka di bawah perkara ini, Speaker hendaklah memastikan berlakunya kekosongan luar jangka itu dan memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya sewajarnya dalam tempoh 21 hari dari tarikh menerima notis bertulis itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas penyerahan notis itu di lobi Wisma DUN Selangor di sini pada Jumaat.

Hadir sama bagi penyerahan notis itu, ADUN Sungai Ramal, Mohd Shafie Ngah.

Mohamed Azmin yang juga Ketua Pembangkang DUN Selangor berkata, tertakluk kepada peruntukan Perkara LXVA (1)(a) (ii) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, seseorang ADUN hendaklah terhenti dan kerusinya hendaklah menjadi kosong sebaik sahaja suatu tarikh kekosongan luar jangka dipastikan oleh Speaker di bawah Fasal (3) jika ADUN terbabit tidak lagi menjadi anggota parti politik itu.

“Dalam hal ini, saya telah memaklumkan kepada Speaker Dewan bahawa status (ADUN Selat Klang), Abdul Rashid Asari tidak lagi menjadi ahli Bersatu menjadikan beliau terhenti menjadi ADUN Selat Klang dan kerusi itu hendaklah dikosongkan.

“Speaker telah dimaklumkan bahawa satu notis pemakluman telah disampaikan kepada Abdul Rashid pada 12 Jun lalu yang memaklumkan bahawa keahlian beliau dalam Bersatu terhenti serta-merta seperti yang termaktub di bawah Fasal 10.4 Perlembagaan Bersatu kerana ketidakpatuhan kepada arahan MPT (Majlis Pimpinan Tertinggi) Bersatu di bawah Fasal 10.5 Perlembagaan Bersatu yang dikeluarkan pada 17 Mei 2024,” jelas beliau.

Menurut Mohamed Azmin, beliau turut menarik perhatian Speaker mengenai Akta Pertubuhan 1966 yang menegaskan keputusan sesuatu parti politik tentang pentafsiran Perlembagaan, kaedah-kaedah atau peraturan-peraturannya atau tentang apa-apa perkara yang berhubungan dengan hal ehwal parti itu adalah muktamad dan konklusif.

Sehubungan itu, katanya, Speaker didesak mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dan undang-undang negara dalam menjalankan tugas dan fungsi beliau di bawah Perkara LXVA (3) Undang Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

“Saya juga ingin mengingatkan Speaker perlu mematuhi dan menunaikan sumpah jawatan beliau untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Negeri Selangor (Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959),” ujar beliau.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan, Weng San mengakui masih belum menerima sebarang notis berhubung status keahlian Abdul Rashid.

Sebelum ini, enam ahli Parlimen dan seorang ADUN Bersatu digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan MPT untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Kerajaan luluskan beberapa pembinaan BBP di Sabah bagi perkasa khidmat kebombaan

Nga Kor Ming berkata, pelaksanaan itu membabitkan BBP Telupid, Lahad Datu, Beaufort, Pitas, Nabawan dan Merotai untuk tahun ini

Syarikat China melabur RM10 bilion bangunkan tenaga hijau di Sarawak

"Kami percaya Premier Sarawak (Tan Sri Abang Johari Abang Openg) mempunyai visi yang jelas dan yakin beliau boleh menjadikan Sarawak sebagai hab tenaga hijau.Sehubungan itu, ingin menghulurkan sokongan kami (dalam pelan tenaga hijau),"

Maybank jamin sistem dan maklumat pelanggan dilindungi sepenuhnya

terdapat dakwaan pangkalan data Maybank2u diterbitkan di forum laman web gelap. "kami mengambil serius atas kebimbangan keselamatan ini dan terus memantau serta memastikan data kami dilindungi setiap masa,"

Kementerian akan pastikan internet, media sosial selamat untuk semua – Fahmi

aliran terkini menunjukkan jenayah tradisional telah mula ‘berpindah’ ke alam maya termasuk media sosial