BAGAN DATUK: Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu dibekalkan dengan peralatan canggih selari dengan perkembangan teknologi yang pesat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata pasukan keselamatan itu perlu memiliki pelbagai kelebihan dalam usaha membanteras jenayah, semasa penjenayah menggunakan teknologi terkini yang berubah dengan pantas untuk menjalankan kegiatan mereka.
“Dalam hal ini penggunaan AI (kecerdasan buatan) umpamanya dan IOT (Internet benda) adalah antara elemen penting yang harus diberikan kepada pihak PDRM,” katanya Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dalam sidang media selepas melancarkan pengoperasian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk di Hutan Melintang dekat sini hari ini.
Sementara itu Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dalam ucapan aluannya berkata IPD Bagan Datuk secara tidak rasmi mula beroperasi pada 16 Mac lepas dengan kekuatan 267 perjawatan.
Beliau berkata Balai Polis Hutan Melintang dipilih untuk menjadi pusat operasi sementara IPD Bagan Datuk apabila melihat kepada kesesuaian kompleks balai polis itu yang siap dibina pada 2012.
“Peruntukan RM2 juta untuk perolehan tanah berkeluasan 10 ekar bagi tapak pembinaan Kompleks IPD Bagan Datuk yang baharu telah pun diluluskan di bawah Rolling Plan 4, RMK12 (Rancangan Malaysia Ke-12), dan PDRM juga telah mengemukakan permohonan kos pembinaannya yang dianggarkan RM200 juta, di bawah Rolling Plan 5, RMK12,” katanya.
Mohd Yusri berkata IPD Bagan Datuk itu menjadi IPD yang ke-16 untuk PDRM Perak.
Usai majlis itu Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah kemudiannya merasmikan Dewan Orang Ramai Parit 23, Tanjung Bayan dekat sini.- BERNAMA