ICC mohon waran tangkap Netanyahu, pemimpin Hamas

Date:

Share post:

LONDON: Peguam hak asasi manusia Britain, Amal Clooney merupakan penasihat khas dalam siasatan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang mendorong pendakwa raya dalam kes itu memohon waran tangkap dikeluarkan ke atas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan tiga pemimpin Hamas.

Perkara itu dikongsi Ketua Pendakwa Raya ICC, Karim Khan dalam ucapan penghargaannya kepada Amal Clooney.

Karim menyifatkan Amal Clooney sebagai sebahagian daripada “panel pakar dalam undang-undang antarabangsa” yang menyemak segala bukti.

Sementara itu, dalam mesej di laman web yayasannya, Amal Clooney berkata, Karim telah meminta bantuannya “dengan menilai bukti jenayah perang yang disyaki dan jenayah terhadap kemanusiaan di Israel dan Gaza.”

“Saya bersetuju dan menyertai panel pakar undang-undang antarabangsa untuk melaksanakan tugas ini.

“Bersama-sama kami telah terlibat dalam proses yang meluas bagi semakan bukti dan analisis undang-undang, termasuk di Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague.

“Walaupun latar belakang peribadi kami yang pelbagai, penemuan undang-undang membuatkan kami sebulat suara. Kami telah sebulat suara memutuskan bahawa mahkamah (ICC) mempunyai bidang kuasa ke atas jenayah yang dilakukan di Palestin dan oleh warga Palestin.

“Kami sebulat suara membuat kesimpulan bahawa terdapat alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa pemimpin Hamas iaitu Yahya Sinwar, Mohammed Deif dan Ismail Haniyeh telah melakukan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan, termasuk pengambilan tebusan, pembunuhan dan jenayah keganasan seksual.

“Kami sebulat suara membuat kesimpulan bahawa terdapat alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant telah melakukan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan, termasuk kebuluran sebagai kaedah peperangan, pembunuhan, penganiayaan dan pemusnahan,” tegas peguam berkenaan yang juga isteri kepada aktor ternama Hollywood, George Clooney.

Amal Clooney sebelum ini berdepan kritikan kerana gagal mengkritik secara terbuka perang di Gaza.

Bagaimanapun, pada Isnin, peguam berdarah kacukan Britain-Lubnan itu menerima banyak mesej yang dikirim kepadanya di media sosial dan meminta maaf atas komen negatif mereka sebelum ini dan memuji peranannya dalam siasatan ICC.

Peguam itu berkata, persetujuannya untuk berkhidmat sebagai panel kerana beliau percaya pada kedaulatan undang-undang dan “keperluan untuk melindungi nyawa orang awam.”

Amal Clooney menambah: “Undang-undang yang melindungi orang awam dalam peperangan telah dibangunkan lebih 100 tahun lalu dan ia terpakai di setiap negara di dunia, tanpa mengira sebab konflik.

“Sebagai seorang peguam hak asasi manusia, saya tidak akan pernah menerima bahawa nyawa seorang kanak-kanak mempunyai nilai yang lebih rendah daripada nyawa yang lain.

“Saya tidak menerima bahawa sebarang konflik harus berada di luar jangkauan undang-undang atau mana-mana pelaku harus berada di atas undang-undang. Jadi saya menyokong langkah bersejarah yang telah diambil oleh pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk membawa keadilan kepada mangsa kekejaman di Israel dan Palestin.”

Pemimpin Israel dan Hamas telah menolak dakwaan bahawa mereka bersalah atas jenayah perang dan wakil kedua-dua pihak mengkritik keputusan Karim. – Arab News

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Rayuan subsidi diesel pengusaha bas sekolah akan dipertimbangkan – PM Anwar

Kalau dia perlu dan memang untuk bas sekolah, kita bagi. Ya, boleh. Ada masa untuk merayu dan (kita akan) berikan tetapi kalau sengaja diambil peluang, kalau syarikat-syarikat besar, syarikat pelancongan yang untung besar, tak munasabah dapat subsidi

Johor semakin hampir menoktahkan miskin tegar – Onn Hafiz

Pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan negeri dan Persekutuan bagi memastikan sifar miskin tegar di Johor menjadi satu realiti. Antara inisiatif itu termasuk Program Keluarga Angkat, Dapur Kasih Johor, yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan isi rumah, bantuan baik pulih rumah, bantuan peralatan, latihan dan pendidikan

Pendedahan awal dari peringkat sekolah berkaitan integriti perlu dilaksana – Dr Ismail

Walaupun ia bukan perkara yang wajib, ia boleh dilaksanakan sebab untuk mendidik semangat integriti ini bukanlah usaha yang memerlukan kos tinggi. Hanya sama ada mahu atau tidak, itu sahaja dan ibu bapa juga harus memberi tunjuk ajar mana perkara yang betul dan salah

Serangan balai polis Ulu Tiram : Anggota polis terbunuh dinaikkan pangkat secara anumerta

"Bukan nilai ratusan yang diutamakan tetapi untuk meringankan beban keluarga, ...kita tidak boleh gantikan kesedihan (kehilangan ahli keluarga) dengan wang ringgit. "Aspek kebajikan (ahli keluarga PDRM) kita jaga dan ini memperlihatkan hubungan polis (dengan keluarga) tidak terputus,"