Ringgit mengukuh, kembali ke paras 4.70

Date:

Share post:

KUALA LUMPUR: Aliran meningkat ringgit berterusan, kembali kepada paras 4.70 berikutan jaminan Rizab Persekutuan (Fed) mengenai kadar faedah yang membantu mengurangkan kebimbangan selepas data Indeks Harga Pengeluar (IHPR) AS yang lebih tinggi daripada jangkaan.

Pengerusi Fed Jerome Powell menyatakan langkah berkaitan kadar faedah yang seterusnya oleh bank pusat AS dijangka tidak mencatatkan kenaikan, menggambarkan bacaan sebagai lebih bercampur-campur berdasarkan data sebelumnya yang telah disemak lebih rendah.

Pada 9 pagi, ringgit mengukuh kepada 4.7070/7115 berbanding dolar AS daripada 4.7160/7190 pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran forex dilihat tidak begitu terkesan dengan IHPR AS yang lebih tinggi daripada jangkaan, yang mencatatkan 0.5 peratus bulan ke bulan pada April berbanding anggaran konsensus sebanyak 0.3 peratus.

“Peserta pasaran memberi perhatian kepada kenyataan pengerusi Fed mengenai inflasi pada acara yang dianjurkan oleh Foreign Bankers’ Association di Amsterdam.

“Beliau menekankan dasar monetari semasa adalah terhad oleh semua langkah dan trend disinflasi perlu berterusan dan bergerak ke arah matlamat 2.0 peratus,” katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, Indeks Dolar AS (DXY) merosot 0.19 peratus kepada 105.017 mata manakala hasil Perbendaharaan AS dua tahun dan 10 tahun, masing-masing merosot 4.0 mata asas dan 3.0 mata asas kepada 4.81 peratus dan 4.45 peratus.

“Oleh itu, ringgit mungkin mendapat sokongan yang baik berikutan kemungkinan kenaikan kadar AS agak tipis,” katanya.

Seterusnya, pasaran akan memantau Indeks Harga Pengguna (IHP) AS yang akan dikeluarkan malam ini dan data ekonomi Malaysia pada Jumaat.

Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia naik berbanding yen Jepun kepada 3.0094/0125 daripada 3.0161/0182 pada Selasa, bagaimanapun merosot berbanding pound kepada 5.9252/9308 daripada 5.9158/9195 dan susut berbanding euro kepada 5.0916/0964 daripada 5.0900/0932 sebelum ini.

Mata wang tempatan turut diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN lain.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.4818/4854 daripada 3.4848/4873 semalam dan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 292.2/292.8 daripada 292.7/293.3.

Bagaimanapun, ia rendah berbanding baht Thailand kepada 12.8804/8973 daripada 12.8596/8730 dan merosot berbanding peso Filipina kepada 8.16/8.17 daripada 8.15/8.16 sebelum ini.

-BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Bantuan SARA dan STR mula diagih esok, peruntukan tertinggi dalam sejarah

Menjunjung prinsip kesaksamaan dan nilai manusiawi yang menghidupkan kerangka Ekonomi MADANI, penyusunan semula kewangan Kerajaan ini memastikan hasilnya dapat memanfaatkan rakyat terbanyak

496,541 pelajar akan terima BAP di seluruh Sabah

Diingatkan juga kepada semua pengetua dan guru besar, tiada sebarang potongan atau kutipan bayaran diambil daripada BAP ini. KPM berharap maklumat ini jelas dan difahami

Kebijaksanaan dan Hikmah: Permata Agung dalam Memimpin Kehidupan

Seperti ombak yang tidak pernah jemu menghempas pantai, cabaran hidup hadir tanpa henti, menguji keteguhan jiwa dan kecerdikan akal. Di sinilah kebijaksanaan dan hikmah menjadi pelita yang menyinari lorong-lorong gelap perjalanan ini.

Tanggungjawab Kepimpinan dalam Islam dan Relevansi dalam Politik Malaysia

Kepimpinan dalam Islam adalah sebuah tugas yang tidak hanya menyentuh batas duniawi tetapi juga melangkaui keabadian akhirat. Ia bukan sekadar satu takhta yang dihiasi dengan simbol kuasa, tetapi sebuah amanah yang menuntut keikhlasan, keadilan, dan pengorbanan.