Lawrence Wong Perdana Menteri Singapura yang baharu

Date:

Share post:

SINGAPURA: Timbalan Setiausaha Agung Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura, Lawrence Wong, 51, secara rasminya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Republik itu yang baharu, pada Selasa.

Majlis mengangkat sumpah itu dilakukan di hadapan Ketua Hakim Singapura, Sundaresh Menon dan Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam di Istana.

Turut mengangkat sumpah ialah barisan kabinet baharu termasuk bekas Perdana Menteri, Lee Hsien Loong serta Teo Chee Hean yang kini menjawat jawatan sebagai Menteri Kanan, dan Gan Kim Yong serta Heng Swee Keat sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Saudara-saudari sekalian, malam ini saya mengambil alih sebagai Perdana Menteri dari Encik Lee. Saya berasa rendah diri dan berbesar hati kerana diamanahkan dengan tanggungjawab ini. Saya berikrar untuk berkhidmat sebaik mungkin bagi semua rakyat Singapura.

“Kita hidup dalam dunia yang sering bergelora dan tidak menentu. Walaupun masa hadapan semakin mencabar, tetapi banyak juga peluang baharu. Sebagai rakyat yang bersatu-padu, saya yakin, kita boleh merebut peluang-peluang tersebut demi membina Singapura yang lebih baik.

“Sebagai Perdana Menteri saya akan turun padang mendekati rakyat dan berkerja keras untuk memperbaik mutu kehidupan anda. Ayuh kita berganding bahu dan bersatu hati untuk bersama-sama melakar masa hadapan baharu yang lebih cerah bagi semua,” kata pemimpin Kumpulan 4G itu lagi.

Wong berkata, beliau merupakan Perdana Menteri pertama yang lahir selepas kemerdekaan Singapura, termasuk sebahagian besar ahli Kumpulan 4G, dan beliau akan memimpin Singapura dengan cara tersendiri, tanpa mengabaikan nilai utama seperti bebas rasuah, meritokrasi, pelbagai kaum, keadilan dan kesaksamaan.

Tegasnya lagi, beliau sama sekali tidak akan berpegang kepada status quo, tetapi terus berusaha mewujudkan masa depan yang lebih baik untuk semua rakyat Singapura.

Pada 13 Mei lepas, Wong telah mengumumkan beberapa pembaharuan dalam barisan Kabinetnya, yang beliau sifatkan pengimbangan di antara kesinambungan dan pembaharuan kepimpinan.

Lee akan kekal sebagai Pengerusi Majlis Penyelidikan, Inovasi dan Perusahaan, manakala Teo akan kekal dengan portfolio Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara.

Bagi Timbalan Perdana Menteri, Gan, beliau akan memangku jawatan Perdana Menteri semasa ketiadaan Wong, selain memegang portfolio sebagai Penguasa Kewangan Singapura dan Ahli Kumpulan Strategi Pejabat Perdana Menteri, manakala Heng memegang portfolio sebagai Menteri Koordinasi untuk Polisi Ekonomi.

Terdahulu Tharman dalam ucapannya berkata, beliau yakin Wong mampu memimpin Singapura mengharungi laluan antarabangsa yang berbeza, sambil mengiktiraf kemampuan Perdana Menteri itu dalam membentuk polisi ekonomi dan sosial.

Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan Lee yang luar biasa, dan telah meningkatkan status republik itu ke tahap yang tinggi, biarpun dikekang dua krisis utama seperti krisis ekonomi 2008 dan COVID-19 pada 2020.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Sabah dan Politik Warlord: Demokrasi Dibelenggu, Negeri Terus Terikat

Di celah gemuruh perjuangan autonomi, suara pembangunan luar bandar, dan retorik kemajuan rakyat, tersembunyi satu kebenaran yang pahit...

Hajiji Beri Bayangan Pembubaran DUN Selepas Perhimpunan Gagasan Rakyat

Nampaknya pertembungan politik di Sabah semakin tajam menjelang kemungkinan PRN ke-17. Kenyataan Hajiji yang menyokong pandangan Armizan agar...

Daya Tahan Bukan Soal Tak Jatuh, Tapi Soal Berapa Kali Sanggup Bangkit Selepas Jatuh

Hidup ini bukan pentas untuk manusia sempurna. Ia bukan jalan yang rata, tidak juga bebas dari luka dan...

SST Diperluas: Antara Harapan, Ketelusan dan Tanggungjawab Negara

Ketika dunia masih bergelut dengan kesan pasca pandemik, inflasi makanan, konflik geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi global, Malaysia sedang...