Semua jemaah haji tahun ini berpeluang melakukan ziarah Raudah

Date:

Share post:

MADINAH: Tabung Haji (TH) memberi jaminan akan memastikan semua 31,600 jemaah haji bagi musim 1445H/2024 akan mendapat peluang untuk melakukan ziarah Raudah iaitu satu daripada pengisian ketika mereka berada di sini selama enam hari lima malam.

Naib Konsul Haji Malaysia merangkap Pengarah Operasi Madinah Ashrof Shamsuddin berkata permohonan untuk aktiviti itu akan dilakukan oleh pihak TH sendiri menerusi aplikasi Nusuk mengikut kumpulan KT atau kumpulan penerbangan dan disusun mengikut tarikh ketibaan.

“Insya-Allah, Tabung Haji akan membuat permohonan secara rasmi menerusi aplikasi nusuk untuk semua 31,600 jemaah haji melakukan ziarah Raudah. Bagaimanapun kelulusan bergantung kepada pihak pengurusan Masjid Nabawi.

“Jadual ziarah akan diberikan oleh pihak zon iaitu tempat jemaah haji menginap bagi membuat aturan pergerakan kerana kita mengetahui bahawa pergerakan jemaah haji untuk memasuki raudah ini adalah dikawal dan disusun oleh pihak pengurusan Masjid Nabawi,” katanya dalam sidang media di Pejabat Operasi TH hari ini.

Ashrof berkata terdapat perbezaan pergerakan antara jemaah haji wanita dan jemaah haji lelaki selain perbezaan masa untuk melakukan ziarah.

Kumpulan jemaah haji katanya akan dipimpin oleh Pembimbing Ibadah Haji Tanah Suci TH yang akan membawa jemaah haji ke kawasan Raudah dan permit kemasukan itu akan diberikan kepada penjaga pintu masuk Raudah untuk membolehkan mereka beribadah dalam tempoh masa tertentu.

Sementara itu, untuk jemaah haji yang berusia, TH akan mengenal pasti keupayaan kesihatan mereka dan waris sebelum menawarkan bantuan pergerakan untuk mengunjungi Raudah.

“Jika tidak ada waris, petugas akan membantu pergerakan jemaah yang berusia ini dari tempat penginapan ke masjid Nabawi atau sekiranya tidak boleh berjalan tetapi sihat untuk bergerak ke Masjid Nabawi, TH juga ada menyediakan bantuan kerusi roda untuk membawa jemaah ini ke Raudah,” katanya.

Mengikut rekod TH, daripada jumlah keseluruhan 31,600 jemaah haji pada tahun ini, 36 peratus jemaah adalah berusia 60 tahun ke atas, manakala bakinya 60 tahun ke bawah.

Aktiviti ziarah Raudah merupakan sebahagian daripada pengisian program Ziarah Dalam yang diatur oleh pihak TH untuk kesemua jemaah haji sepanjang jemaah berada enam hari lima malam di Madinah selain Ziarah Luar.

Sementara itu, mengulas kepentingan aktiviti melakukan aktiviti ziarah sepanjang berada di Madinah, Ashrof berkata menerusi aktiviti itu, TH mengharapkan jemaah mendapat pelbagai kebaikan dan iktibar daripada kisah sejarah di tempat yang dilawati.

Antara tempat Ziarah Luar yang diatur untuk para jemaah haji termasuk masjid pertama yang dibina oleh Rasulullah SAW itu Masjid Quba dan Masjid Qiblatain iaitu masjid yang mempunyai dua arah kiblat.

Masjid berkenaan yang mulanya dikenali Masjid Bani Salamah, mempunyai arah kiblat menghadap Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis sebelum turun wahyu daripada Allah SWT kepada Nabi Muhamad SAW untuk menukar arah kiblat ke Masjidil Haram semasa Baginda sedang solat Zohor di masjid itu.

Selain itu, para jemaah haji juga akan dibawa ziarah secara kumpulan dengan menaiki bas ke Masjid Tujuh, Bukit Uhud serta ke ladang kurma. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Sabah dan Politik Warlord: Demokrasi Dibelenggu, Negeri Terus Terikat

Di celah gemuruh perjuangan autonomi, suara pembangunan luar bandar, dan retorik kemajuan rakyat, tersembunyi satu kebenaran yang pahit...

Hajiji Beri Bayangan Pembubaran DUN Selepas Perhimpunan Gagasan Rakyat

Nampaknya pertembungan politik di Sabah semakin tajam menjelang kemungkinan PRN ke-17. Kenyataan Hajiji yang menyokong pandangan Armizan agar...

Daya Tahan Bukan Soal Tak Jatuh, Tapi Soal Berapa Kali Sanggup Bangkit Selepas Jatuh

Hidup ini bukan pentas untuk manusia sempurna. Ia bukan jalan yang rata, tidak juga bebas dari luka dan...

SST Diperluas: Antara Harapan, Ketelusan dan Tanggungjawab Negara

Ketika dunia masih bergelut dengan kesan pasca pandemik, inflasi makanan, konflik geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi global, Malaysia sedang...