KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menzahirkan penghargaan terhadap keprihatinan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan.
Sumbangan berjumlah RM200,000 itu disalurkan menerusi agensi di bawah KPWKM iaitu Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan disampaikan sendiri oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Penyerahan sumbangan itu berlangsung ketika kunjungan hormat Nancy kepada Hajiji di Bilik Danum, Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini. Turut hadir Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Safar Untong; Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Datuk Ag Shaminan Ag Sahari; Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Datuk Walter Kenson serta Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara, Nordina Haron.
Bantuan ini membuktikan bahawa kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri amat penting dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela, khususnya ketika berdepan musibah yang tidak dijangka.
Diharapkan bantuan ini dapat meringankan beban mangsa kebakaran untuk memulakan semula kehidupan mereka, selain menjadi bukti bahawa rakyat tidak pernah dipinggirkan ketika memerlukan bantuan segera.
