KUALA LUMPUR: Jemaah haji tahun ini akan dilengkapi dengan International Patient Summary (IPS) melalui aplikasi MySejahtera, yang dapat memudahkan rawatan jika berlaku sebarang insiden semasa mengerjakan ibadah itu, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata IPS yang merupakan satu transformasi digital Kementerian Kesihatan (KKM), membolehkan pengamal perubatan di Tanah Suci mengakses maklumat perubatan asas yang kritikal jemaah haji, dengan hanya mengimbas kod QR.
“Menerusi IPS, segala info termasuklah sejarah kesihatan dan perubatan serta alahan jemaah haji dapat diakses oleh kerajaan Saudi, membolehkan rawatan langsung dapat dilakukan oleh pakar perubatan bertugas kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Dr Dzulkefly berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Pengurusan Tertinggi KKM bersama Rombongan Petugas Haji (Perubatan) KKM ke Tanah Suci bagi Musim Haji 1445H/2024 di Putrajaya semalam.
Untuk tahun ini, seramai 279 petugas haji (perubatan) KKM dan tiga petugas haji (kebajikan), akan bertugas di Tanah Suci bermula 30 April ini, dan Dr Dzulkefly mengingatkan mereka untuk berkhidmat dengan penuh dedikasi supaya jemaah haji dapat menunaikan ibadah dengan baik.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Syed Hamadah Syed Othman, berkata rombongan pertugas perubatan KKM, yang terdiri daripada pelbagai disiplin seperti perubatan am, perubatan keluarga dan perubatan kecemasan dan trauma, merupakan pasukan yang amat penting pada operasi haji setiap tahun.
“Pengurusan kesihatan jemaah haji bukan tugas yang mudah, ditambah dengan profil umur jemaah haji yang hampir 36 peratus melebihi 60 tahun. Namun anggota perubatan KKM yang bertugas setiap hari, telah menunjukkan komitmen yang amat tinggi dalam memberikan perkhidmatan terbaik setiap tahun,” katanya.
Syed Hamadah berkata pengurusan TH amat berpuas hati dengan kualiti perkhidmatan KKM, dengan kerjasama di semua peringkat yang bermula dari perancangan dan persediaan di tanah air, sehingga semasa berada di Tanah Suci ketika operasi haji berjalan, adalah sangat baik.
Beliau berkata TH juga melaksanakan soal selidik untuk mengukur tahap kepuasan jemaah terhadap perkhidmatan haji, meliputi pelbagai aspek setiap tahun dengan penilaian musim lepas, mendapati jemaah amat berpuas hati dengan perkhidmatan perubatan KKM. – BERNAMA