Projek kereta api berkelajuan tinggi pertama di kepulauan Borneo bakal dibina

Date:

Share post:

MIRI: Pulau Borneo akan dihubungi dengan lebih pantas dan mudah, apabila projek Trans Borneo Railway (TBR) rangkaian kereta api berkelajuan tinggi pertama di Borneo menjadi nyata kelak.  

Brunergy Utama Sdn Bhd yang mengumumkan projek TBR itu di laman sesawang rasminya memberitahu, projek itu kelak akan dibina dalam dua fasa, melibatkan laluan sepanjang 1,620 kilometer (km). 

Syarikat itu mendedahkan purata laluan antara setiap stesen ialah 150km, dengan kelajuan 300 hinggga 350km sejam dan purata bagi setiap perjalanan akan memakan masa selama 30 minit.

“Fasa pertama pembinaan akan menghubungkan kuasa ekonomi di bandar-bandar pantai barat ke timur; bermula di Pontianak, Kalimantan Barat dan berakhir di Kota Kinabalu, Sabah.

“Pembinaan laluan dalam fasa pertama ini kelak akan melibatkan bandar raya Kota Kinabalu-Kimanis/Papar-Beaufort-Sipitang-Lawas-Bangar-Limbang-Bukit Panggal-Miri-Bintulu-Sibu-Sri Aman-Kuching-Sambas-Singgawang-Mempawah-Pontianak,” demikian menurut Brunergy.

Laluan bagi projek TBR yang merentasi Pulau Borneo dengan laluan berwarna hijau merupakan projek fasa pertama dan warga jingga adalah fasa kedua.
Laluan bagi projek TBR yang merentasi Pulau Borneo dengan laluan berwarna hijau merupakan projek fasa pertama dan warga jingga adalah fasa kedua.

Manakala fasa kedua kelak akan memasuki wilayah Kalimantan Utara dan Timur untuk menghubungkan laluan utama dengan bandar terbesar Borneo, Samarinda dan kemudiannya ibu negara Indonesia di masa depan, Nusantara.

Pembinaan bagi laluan fasa kedua ini melibatkan stesen dari Bukit Panggal (di Brunei) ke Long Seridan-Ba’ Kelalan-Long Bawan-Malinau-Tanjung Selor-Tandjungredeb-Pengadan-Lubuk Tutung-Bontang-Samarinda-Balikpapan.

TBR akan menjadi tuan rumah empat terminal, berfungsi sebagai hab utama untuk pengangkutan massa, bersama-sama dengan 24 stesen di seluruh pulau.

Kedua-dua laluan kereta api itu akan bersambung di daerah Tutong, Brunei yang terletak di lokasi strategik dan berfungsi sebagai hab pusat TBR.

Brunergy Utama Sdn Bhd (Brunergy) ialah sebuah syarikat milik penuh warga Brunei, yang memberi tumpuan kepada pembinaan projek infrastruktur utama untuk memacu pertumbuhan ke hadapan di Borneo.

Kereta api berkelajuan tinggi juga dikenali sebagai ‘bullet train,’ adalah sejenis kereta api penumpang yang beroperasi pada rangkaian kereta api berkelajuan tinggi yang mampu mencapai kelajuan maksimum 320km atau lebih sejam serta menawarkan pengalaman perjalanan yang sangat unik dan cekap kepada penumpang.

Menurut Brunergy, pengenalan teknologi ini ke rantau ini akan meningkatkan interaksi manusia ke tahap yang berbeza dan akan mampan untuk 50 tahun akan datang atau lebih tanpa banyak persaingan dan perubahan teknologi.

“Walaupun Borneo Malaysia dan Indonesia telah mengalami pembandaran berskala besar dalam beberapa dekad yang lalu, sebahagian besar penduduknya kekal terpisah dan tinggal dalam komuniti luar bandar yang kurang maju yang tersebar di seluruh pulau.

“Meskipun saiz dan potensi ekonominya melalui sumber semula jadi yang banyak, namun negeri-negeri di Pulau Borneo tidak berkongsi hubungan yang sama dengan pasaran global yang lebih luas berbanding kebanyakan wilayah jirannya,” jelas syarikat itu. 

Katanya, dengan lebih 30 etnik yang berbeza, pulau ini mempunyai antara kepekatan budaya yang paling pelbagai di planet ini, justeru langkah mempercepatkan pertukaran sumber manusia, barangan, perkhidmatan dan nilai akan memacu ke hadapan dalam hubungan sosial, melalui usaha pembinaan TBR dan tidak seperti sebelum ini.

Malah, pengurangan kos dan penjimatan masa pemindahan untuk barangan memasuki pasaran akan memangkin lonjakan kuantum dalam produktiviti untuk ekonomi perkongsian pulau ini.

“Paling utama ialah pengenalan teknologi dan industri baharu melalui TBR sudah pasti akan membuka peluang pekerjaan baharu untuk penduduk tempatan,” jelas syarikat itu lagi. 

Diperbadankan pada 21 Oktober 2013, Brunergy pada mulanya dikenali sebagai Mumin Energy (B) Sdn Bhd dan beroperasi dalam sektor minyak dan gas. 

Namun setahun kemudian, pengasas syarikat Danny Chong dan Khalid Abdul Mumin menyelaraskan semula misi syarikat untuk memberi tumpuan kepada sistem penghantaran pengangkutan massa untuk Brunei dan negara jiran Malaysia, sekali gus menamakan semula syarikat itu pada 5 Ogos 2014 kepada Brunergy Utama (B) Sdn Bhd.

Diilhamkan oleh peningkatan populariti kereta api berkelajuan tinggi di China, Jepun dan bahagian lain di dunia, Brunergy akhirnya membuat keputusan muktamad untuk meneruskan usaha ini ke pulau Borneo.

Projek ini pertama kalinya dibentangkan kepada Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi Negara Brunei Darussalam pada 2022, sebelum ia diumumkan sekitar Jun 2023, selepas syarikat berkenaan mengadakan beberapa siri lawatan kepada kementerian berkaitan di ketiga-tiga negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

PROBEST beri manfaat kepada 9,529 usahawan belia dalam sektor pertanian moden

program yang diperkenalkan sejak 2016 oleh KPKM itu merupakan kerjasama strategik Agrobank dengan beberapa universiti tempatan bertujuan bagi menggalakkan penyertaan golongan belia dalam bidang pertanian moden

Kerajaan terus komited tangani kos sara hidup – PM Anwar

“Tetapi jika ditanya adakah saya puas hati? Saya tidak puas hati kerana kita masih hadapi masalah kos sara hidup di sesetengah tempat yang menekan kehidupan,”

Kerajaan Sabah beri sokongan dan kerjasama kekang pencerobohan

usaha itu juga bagi mengekang anasir keganasan (fahaman pelampau), kebanjiran pendatang tanpa izin (PTI) dan jenayah rentas sempadan khususnya di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone)

Kerajaan bebaskan 142,510 individu daripada senarai bankrap – PM Anwar

Daripada lebih 142,500 individu, syarikat dan keluarga yang terapung (nasibnya), tanpa jelas masa depan dan kehidupan mereka, itu bermakna mereka boleh kembali membantu memacu ekonomi