KPKT peroleh 150 kereta bomba kompak bagi tingkatkan tindak balas kecemasan

Date:

Share post:

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM147 juta bagi memperoleh 150 unit kereta bomba kompak (CFRT) untuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi meningkatkan keupayaan tindak balas kecemasan.

Menterinya, Nga Kor Ming, berkata perolehan CFRT itu menandakan langkah penting ke hadapan dalam memperkukuh keupayaan pasukan bomba dan penyelamat serta membuktikan komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat.

“Penyerahan CFRT akan dilaksanakan dalam tempoh segera dengan mengikut fasa yang ditetapkan kepada pihak JBPM.

“Semua perolehan 150 unit CFRT ini adalah pembelian aset paling besar dalam sejarah bomba. Sebanyak lima unit CFRT sudah diserahkan kepada pihak JPBM hari ini, membabitkan tiga negeri iaitu dua unit di Selangor, Johor (dua unit) dan Perak (satu unit),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Ops Siaga Raya Aidilfitri 2024 JBPM di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad, Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M Noor Azman Taib dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPKT Muhammad Razman Abu Samah.

Sementara itu, mengenai fenomena suhu panas melampau dan cuaca kering yang melanda negara ketika ini, Kor Ming berkata, situasi berkenaan meningkatkan risiko berlaku kebakaran terbuka.

Katanya, JBPM merekodkan peningkatan kes kebakaran terbuka yang sangat drastik dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini di semua negeri di seluruh negara.

“Pada Februari lalu, jumlah kes kebakaran terbuka yang direkodkan adalah sebanyak 5,556 kes iaitu peningkatan melebihi enam kali ganda atau 645 peratus, berbanding 746 kes direkodkan pada Januari.

“Antara negeri yang mengalami peningkatan tertinggi adalah Kedah sebanyak 741 kes diikuti Selangor (661 kes), Johor (505 kes) dan Sabah (534 kes),” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan perangkaan JBPM, sebanyak 13,906 kes kebakaran terbuka direkodkan sepanjang tahun 2023 dan sehingga kini JBPM mengenal pasti 652 kawasan titik panas yang berisiko untuk berlaku kes kebakaran terbuka.

“Lokasi tumpuan termasuk tanah gambut, tapak pelupusan sampah haram dan juga tapak pelupusan sampah yang diselia oleh pihak berkuasa tempatan.

“Negara mengalami kerugian RM2.6 bilion akibat kebakaran berskala besar daripada pelbagai bentuk insiden,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

AirAsia menyasarkan 5 juta tetamu diterbangkan ke Sabah tahun ini

Penambahbaikan ini dijangka akan menyumbang kepada peningkatan 35 peratus dalam jumlah penerbangan kepada lebih 51,500 penerbangan setahun serta pertumbuhan 43 peratus dalam kapasiti tempat duduk kepada 9.8 juta tempat duduk setahu

PM Anwar tiba di London untuk lawatan kerja selama lima hari

Mereka juga dijangka membincangkan perkara berkaitan pendidikan tinggi, perubahan iklim dan tenaga boleh dibaharui, agrokomoditi dan pelancongan

Bantuan SARA dan STR mula diagih esok, peruntukan tertinggi dalam sejarah

Menjunjung prinsip kesaksamaan dan nilai manusiawi yang menghidupkan kerangka Ekonomi MADANI, penyusunan semula kewangan Kerajaan ini memastikan hasilnya dapat memanfaatkan rakyat terbanyak

496,541 pelajar akan terima BAP di seluruh Sabah

Diingatkan juga kepada semua pengetua dan guru besar, tiada sebarang potongan atau kutipan bayaran diambil daripada BAP ini. KPM berharap maklumat ini jelas dan difahami