PENAMPANG: Pakatan Harapan (PH) Sabah perlu diberi ruang sewajarnya dan kerusi lebih besar pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17).
Timbalan Pengerusi PH yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick, berkata agihan kerusi tidak harus dikuasai mana-mana parti.
Katanya, bagi UPKO, beliau sudah menyatakan pendirian parti itu berkaitan agihan kerusi PRN17 pada Konvensyen Zon UPKO sebelum ini yang perlu dibincang secara matang.
“Bagi kami itu perlu dibincangkan dari semasa ke semasa dengan rakan komponen Kerajaan Perpaduan. Kita sentiasa menyatakan pandangan, wawasan dan pendirian parti kita untuk dibincangkan secara bersama.
“Kita tidak mahu satu-satu parti menguasai isu tertentu (agihan kerusi), ia harus dibincang secara terbuka dan matang.
“Saya percaya pada akhirnya, pimpinan UPKO dan PH akan membuat keputusan sebaiknya, PH harus ada ruang yang sewajarnya dan lebih besar,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Beliau mengulas perkembangan agihan kerusi dikehendaki UPKO dan rakan parti dalam PH untuk PRN17 yang boleh diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.
Mengenai rakan parti untuk membentuk gabungan bagi menghadapi PRN17, Ewon yang juga Timbalan Pengerusi PH, mengakui sudah banyak perbincangan mengenai perkara itu dibuat.
Bagaimanapun, katanya UPKO dan PH perlu mengambil kira situasi politik semasa termasuk kedudukan dalam Kerajaan Madani membabitkan beberapa pakatan.
“Pada peringkat Persekutuan, kita ada Kerajaan Perpaduan, manakala di Sabah pula mempunyai dinamiknya yang tersendiri dan bagi UPKO, kita buka ruang untuk berbincang.
“Namun, pada akhirnya nanti, pimpinan tertinggi pada peringkat parti dan PH yang akan menentukan keputusan muktamad kita menjelang PRN nanti,” katanya.
UPKO bersama PH Sabah menjadi sebahagian kerajaan negeri di bawah kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – PH Plus, sejak awal tahun lalu.
Sementara itu, Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, berkata UPKO terbuka menerima kemasukan semula bekas pemimpin yang pernah meninggalkan parti itu sebelum ini.
Katanya, kemasukan mereka tidak memerlukan pengisian semula borang keahlian parti, sebaliknya diberikan terus kad keahlian berdasarkan rekod mereka ketika bersama UPKO sebelum ini.
Pada sidang media itu, Ewon turut menyerahkan kad keahlian kepada bekas pemimpin sayap Pemuda UPKO, Adrian Lasimbang yang menyertai semula parti itu.
Katanya, kemasukan semula Adrian yang juga bekas Ahli Dewan Negara, bersama beberapa lagi bekas pemimpin UPKO, termasuk pengasas parti itu diyakini dapat mengukuhkan UPKO untuk terus berkhidmat kepada rakyat Sabah.
“Adrian seorang aktivis alam sekitar dan kemasyarakatan yang turut aktif dalam memperkenalkan inovasi baharu untuk membantu masyarakat.
“Kepakaran dan kemahiran dimilikinya boleh membantu saya mendapatkan input berhubung perkara berkaitan untuk dibawa ke Kabinet,” katanya.
Sebelum ini, bekas Timbalan Presiden UPKO, Datuk Wilfred Mojilip Bumburing yang keluar UPKO pada 2012, menyertai semula parti itu pada bulan lalu.
Turut kembali ke pangkuan UPKO ialah bekas Naib Presidennya, Datuk Dr Marcus Mojigoh yang keluar parti pada 2020 sebelum kembali menerajui UPKO Bahagian Putatan pada November tahun lalu.