Hasil padi merosot ekoran cuaca panas melampau

Date:

Share post:

POKOK SENA: Cuaca panas melampau melanda daerah Pokok Sena dipercayai antara sebab pesawah mengalami kemerosotan hasil padi antara 20 hingga 30 peratus berbanding musim lalu.

Mohd Farid Shafie, 38, dari Gulau di sini mendakwa dia yang mengusahakan lebih 30 hektar sawah turut terkesan dengan suhu panas sejak sebulan lalu dan paling tinggi baru-baru ini sehingga padi menjadi ringan dan kering.

“Padi jadi ringan, jadi hampa (kosong)… suhu ekstrem sangat dan kita ingat panas biasa-biasa sampai ada yang dah buang air 20 hari sebelum mengerat (menuai).

“Tiba-tiba suhu panas sangat mengakibatkan pokok (padi) cepat kering dan buah padi kurang berisi beras.

“Bukan salah siapa pun, ada yang menjadi sampai tujuh dan lapan tan per hektar. Cumanya ada silap percaturan mengakibatkan bendang cepat kering sehingga pokok terbantut dan menjejaskan pokok padi yang tengah bunting ketika itu,” katanya hari ini.

Mohd Farid berkata, fenomena El Nino yang melanda ketika ini mengakibatkan hasil tuaiannya turut menyusut dan tinggal kira-kira lima tan metrik per hektar berbanding tujuh tan metrik per hektar sebelum ini.

“Tapi kami yakin, selagi ada jaminan daripada pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) kata tiga empangan mencukupi untuk pengairan musim depan, kami tak risau sangatlah untuk tanaman semula nanti.

“Cuma kami kena lebih peka pada ramalan cuaca agar tak lepas (buang air dari petak sawah) air awal-awal dan ikut jadual penanaman yang ditetapkan MADA,” katanya.

Seorang lagi pesawah, Jamil Abdullah, 44, berkata Kedah memang memerlukan cuaca panas musim ini bagi menstabilkan tanah untuk rawatan tanah jerlus, tapi bukanlah cuaca yang terlampau panas sehingga menjejaskan hasil petani dan situasi ini di luar jangkaan.

Jamil yang mengusahakan lebih 35 hektar sawah juga terkesan apabila purata hasil diperoleh sekitar enam tan per hektar berbanding sebelum ini sebanyak tujuh tan per hektar.

“Padi saya pun hasil tak padat. Bila panas kuat, padi menjadi kering dan tak ada isi berbanding musim lalu.

“Dulu biasa dapat tujuh tan lebih, tapi sekarang ini dalam enam tan per hektar saja.

“Bukan sahaja pokok jadi kering malah sawah ditimpa penyakit seperti bena perang dan serangan makhluk perosak lain, tapi masih dapat dikawal,” katanya menganggarkan 30 peratus hasil tuaian terjejas akibat cuaca panas ini.

Tanah kering dan merekah berpunca dari cuaca panas melampau ekoran fenomena El-Nino di Kampung Gulau hari ini. - BERNAMA
Tanah kering dan merekah berpunca dari cuaca panas melampau ekoran fenomena El-Nino di Kampung Gulau hari ini. Gambar -BERNAMA

Petani dari Kampung Balik Bukit di sini, Aziz Mat, 82, berkata dia yang mengusahakan kira-kira lapan hektar sawah turut kehilangan hasil kerana hanya lima hektar sawahnya mengeluarkan hasil susulan kemarau.

“Kerugian saya anggarkan dalam RM20,000 sebab banyak petak (sawah) tak ada isi, jadi hampa (kosong)… panas sangat sampai tangkal kecut dan patah, kira dalam sembilan relong (tiga hektar) saya tak dapat apa-apa hasil seperti yang lain dapat.

“Air dan segala infrastruktur semua cukup… yang menjadi punca ialah cuaca panas melampau, bukan kelemahan siapa-siapa,” katanya yang kini hanya menunggu untuk tanaman semula dijangka bermula bulan depan.

Pokok Sena di Kedah merekodkan suhu panas tahap dua atau gelombang haba setakat 4 petang tadi.

Semakan di laman web Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Pokok Sena mencatatkan 37 darjah Celsius iaitu pada tahap gelombang haba iaitu merujuk kepada suhu maksimum harian 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Laporan RCI berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh dibentang di Dewan Rakyat minggu hadapan

“Harap ia akan dibahaskan supaya rakyat tahu apa yang berlaku,”

Kerajaan Pahang kenal pasti 34 ajaran sesat yang masih aktif

Selain itu, individu berkenaan juga diberikan teguran dan amaran supaya pulang ke pangkal jalan supaya tidak terbabit secara serius dan melarat

Jadikan projek Tamu Desa sebagai pusat pertumbuhan ekonomi setempat – Ewon

Semua ini mempunyai kesan positif kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan kesejahteraan ekonomi secara keseluruhan

Dakwaan kebocoran data atau transaksi mencurigakan tidak benar – JPN

JPN sudah berhubung dengan Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan (NACSA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan diambil di pihak mereka