Pemikiran khawarij, takfiri membimbangkan – Mohd Na’im

Date:

Share post:

KUALA LUMPUR – Gelombang pemikiran khawarij dan takfiri di negara ini kini berada pada tahap membimbangkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.Sehubungan dengan itu, beliau berkata, kerajaan mengambil pendekatan untuk memastikan segala usaha dan program-program yang diadakan dapat membendung gelombang pemikiran itu.

“Bagi menangani pemikiran khawarij dan takfiri daripada terus berleluasa, pihak kerajaan sentiasa memantau pengajaran agama Islam sama ada melalui ceramah dan kelas-kelas pengajian di tempat awam seperti masjid dan surau juga dalam media sosial agar dapat memupuk semangat perpaduan dan tidak menyimpang daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Khamis.

Pemikiran khawarij ialah menjatuhkan mana-mana pemerintah yang dilabelkan ‘zalim’, manakala takfiri merujuk kepada sikap seseorang yang mudah menuduh orang lain keluar daripada Islam.

Mohd Na’im berkata, kerajaan juga akan memastikan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah benar-benar bertapak dan difahami masyarakat Islam.

Beliau berkata, sekiranya didapati pendakwah menimbulkan isu-isu yang mengelirukan masyarakat dan memecahbelahkan perpaduan, pendakwah terbabit akan dipanggil untuk diberi peringatan oleh Jabatan Mufti dan pihak berkuasa agama boleh mengambil tindakan dengan menarik semula tauliah mengajar sekiranya gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Kerajaan akan memastikan umat Islam di Malaysia berpegang teguh kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah serta menjauhi sikap mengkafirkan sesama Islam hanya disebabkan berlakunya perbezaan pandangan mengenai isu-isu tertentu,” katanya.

Mengulas mengenai pemerkasaan undang-undang syariah, Mohd Na’im berkata, Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan dengan Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menggubal undang-undang Islam akan menyediakan laporan hasil kajian dan pandangan terhadap semua isu berbangkit dalam tempoh enam bulan atau tidak melebihi satu tahun.

Beliau berkata, laporan itu akan dibentangkan kepada mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Raja-Raja untuk diperkenan sebelum dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

“Semua pihak diminta bersabar dan memberi ruang kepada Jawatankuasa Khas untuk melaksanakan kajian dan seterusnya mengesyorkan cadangan dan pandangan mereka terhadap semua isu yang berbangkit.

“Masyarakat juga tidak perlu bimbang tentang keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin Zurina yang dikatakan melemahkan kuasa mahkamah syariah dan membuka peluang kepada pelbagai pihak untuk mencabar enakmen dan ordinan jenayah syariah di semua negeri,” katanya. – Bernama

Sumber:https://www.sinarharian.com.my/article/654580/berita/nasional/pemikiran-khawarij-takfiri-membimbangkan—mohd-naim

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Sabah dan Politik Warlord: Demokrasi Dibelenggu, Negeri Terus Terikat

Di celah gemuruh perjuangan autonomi, suara pembangunan luar bandar, dan retorik kemajuan rakyat, tersembunyi satu kebenaran yang pahit...

Hajiji Beri Bayangan Pembubaran DUN Selepas Perhimpunan Gagasan Rakyat

Nampaknya pertembungan politik di Sabah semakin tajam menjelang kemungkinan PRN ke-17. Kenyataan Hajiji yang menyokong pandangan Armizan agar...

Daya Tahan Bukan Soal Tak Jatuh, Tapi Soal Berapa Kali Sanggup Bangkit Selepas Jatuh

Hidup ini bukan pentas untuk manusia sempurna. Ia bukan jalan yang rata, tidak juga bebas dari luka dan...

SST Diperluas: Antara Harapan, Ketelusan dan Tanggungjawab Negara

Ketika dunia masih bergelut dengan kesan pasca pandemik, inflasi makanan, konflik geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi global, Malaysia sedang...