Dua wakil PH dari DAP, PKR dilantik dalam Kabinet Sabah

Date:

Share post:

KOTA KINABALU – Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada komponen Pakatan Harapan (PH) iaitu DAP dan PKR, adalah di antara tiga pembantu menteri, yang baharu dilantik menyertai Kabinet Sabah kelmarin.

Mereka yang mengangkat sumpah jawatan masing-masing di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu di sini, ialah ADUN Inanam, Peto Galim (PH-PKR) dan ADUN Likas, Tan Lee Fat (PH-DAP).

Seorang lagi ialah Lumadan, Datuk Ruslan Muharam mewakili Gabungan Rakyat Sabah – Parti Bersatu Sabah (GRS-PBS).

Ruslan dilantik sebagai Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, manakala Peto dan Lee Fat masing-masing dilantik sebagai Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan serta Pembantu Menteri Kewangan negeri.

Perlantikan itu dibuat susulan pengguguran dua penyandang jawatan pembantu menteri iaitu ADUN Pantai Manis, Mohd Tamin Zainal dan ADUN Sungai Sibuga, Datuk Mohd Hamsan Awg Supain.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata selain pelantikan baharu itu, rombakan portfolio bagi jawatan pembantu menteri sedia ada turut dilakukan.

“Pelantikan hari ini dan rombakan pembantu menteri yang dilakukan adalah kesinambungan kepada usaha ke arah mengukuhkan pentadbiran kerajaan negeri.

“Pelantikan pembantu menteri ini adalah untuk mengisi jawatan yang dikosongkan bekas Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan, Datuk James Ratib yang sekarang menjadi Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat.

“Ia juga untuk mengisi jawatan dikosongkan Datuk Jasnih Daya yang memilih untuk melepaskan jawatan Pembantu Menteri Kewangan untuk memberi laluan kepada yang lain,” katanya dalam satu kenyataan, Khamis.

Sementara itu, empat pembantu menteri sedia ada bertukar portfolio iaitu Datuk Seri Ruddy Awah (Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar); Datuk Harun Durabi (Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi); Datuk Fairuz Renddan (Pembantu Menteri Belia dan Sukan) dan Datuk Andi Suryady Bandy (Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian).

Ruddy dan Fairuz mewakili GRS, manakala Harun dan Andi Suryady mewakili UMNO Barisan Nasional (BN).

Harun dan Andi Suryady adalah antara empat ADUN UMNO BN memegang jawatan pembantu menteri yang sebelum ini menyertai Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, menarik sokongan kepada kerajaan negeri dan Hajiji sebagai Ketua Menteri.

Hajiji berkata, beliau menekankan kepentingan untuk kerajaan negeri pimpinannya berfungsi sebagai sebuah pasukan yang berkongsi aspirasi sama, yang dibina atas dasar saling mempercayai dan menghormati.

“Kita memerlukan pasukan yang kukuh untuk melaksanakan pembangunan dan menunaikan janji pilihan raya kepada rakyat dan negeri,” katanya.

Awal bulan ini, Hajiji berdepan cubaan menggugurkan kedudukannya sebagai Ketua Menteri yang dibuat UMNO dan Parti Warisan (WARISAN), namun gagal berikutan sokongan majoriti masih diterima Hajiji untuk memimpin kerajaan negeri termasuk daripada tujuh ADUN PH dan lima ADUN UMNO yang tidak bersetuju dengan tindakan Bung Moktar mahu menukar kerajaan negeri.

Berikutan insiden itu, Hajiji melakukan rombakan Kabinet pada 9 Januari lalu dengan memasukkan dua ADUN PH, Datuk Christina Liew (Api-Api) sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar dan Phoong Jin Zhe (Luyang) sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian.

Selain itu, ADUN Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yanya (UMNO) dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerja Raya negeri menggantikan Bung Moktar dan Datuk James Ratib (Sugut) sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian negeri.

BACA JUGA :

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Laporan RCI berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh dibentang di Dewan Rakyat minggu hadapan

“Harap ia akan dibahaskan supaya rakyat tahu apa yang berlaku,”

Kerajaan Pahang kenal pasti 34 ajaran sesat yang masih aktif

Selain itu, individu berkenaan juga diberikan teguran dan amaran supaya pulang ke pangkal jalan supaya tidak terbabit secara serius dan melarat

Jadikan projek Tamu Desa sebagai pusat pertumbuhan ekonomi setempat – Ewon

Semua ini mempunyai kesan positif kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan kesejahteraan ekonomi secara keseluruhan

Dakwaan kebocoran data atau transaksi mencurigakan tidak benar – JPN

JPN sudah berhubung dengan Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan (NACSA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan diambil di pihak mereka