KOTA KINABALU – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merestui Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor untuk terus menerajui kepimpinan Kerajaan Negeri Sabah.
Beliau bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu kerajaan Sabah terus kukuh di bawah pimpinan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu.
Anwar berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Hajiji dan barisan kepimpinan GRS di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya di sini malam tadi.
“Saya ucap terima kasih kepada Ketua Menteri Hajiji dan rakan-rakan yang bersama mendengar semua pandangan dan Datuk Seri Zahid kerana kita mahu kerajaan Sabah itu kukuh di bawah pimpinan Ketua Menteri Hajiji.
“Esok satu Rang Undang-Undang (RUU) penting untuk kembalikan hak Sabah yang saya usulkan di jemaah menteri.
“Ini satu perubahan besar dan bagi saya satu keutamaan, kemudian kita beri ruang kepada Ketua Menteri untuk bincang dan cari satu formula yang baik untuk kebaikan negeri Sabah,” jelasnya.
Beliau sebelum itu mengadakan pertemuan dengan pemimpin politik Sabah termasuk Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin; Presiden Parti Kesejahteraan, Demokratik, Masyarakat (KDM) Datuk Peter Anthony dan dipercayai pemimpin Parti Warisan (WARISAN).
Selepas pertemuan itu, Anwar memutuskan supaya kepimpinan parti politik di Sabah untuk memutuskan sebarang penyelesaian kemelut politik yang berlaku di negeri ini.
Katanya, keadaan yang berlaku bertambah baik hasil perbincangan yang dibuat bersama Zahid dalam mencari formula yang baik untuk Sabah.
“Keputusan diputuskan oleh kepimpinan Sabah sendiri. Kita hanya mampu beri nasihat,” katanya.
BACA JUGA: