KOTA KINABALU – Formula baharu dengan melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) dalam Jemaah Menteri Kerajaan Negeri Sabah mampu memperhebat usaha membangunkan negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya berkata gandingan ADUN Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Barisan Nasional (BN) dan PH dalam jemaah menteri itu juga diharap dapat bekerja dengan lebih berkesan dalam merangka serta melaksana dasar terbaik untuk rakyat Sabah.
“Kemelut politik sudah beredar jadi ini adalah masa untuk Kabinet Sabah dengan formula baharu ini bekerja untuk rakyat,” katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah jawatan tiga ADUN sebagai Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Negeri Sabah di Istana Seri Kinabalu di sini semalam.
Ditanya sama ada UMNO dan BN bakal mengambil tindakan ke atas beliau susulan menerima jawatan tersebut, ADUN Tanjung Keramat itu berkata beliau menyerahkan kepada pimpinan parti tentang perkara tersebut dan menegaskan dirinya masih ahli UMNO.
Terdahulu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin semalam mendakwa dua ADUN parti itu yang dilantik dalam barisan Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Sabah tidak mewakili UMNO negeri berkenaan.
Justeru, Bung Moktar berkata perkara berkenaan akan dibawa ke Lembaga Disiplin UMNO kerana membelakangkan keputusan UMNO dan BN Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor semalam mengumumkan Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Sabah yang baharu, dengan tujuh melibatkan ADUN GRS, manakala masing-masing dua daripada BN dan PH.
Rombakan itu menyaksikan Shahelmey dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri III menggantikan Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam yang dilantik Timbalan Ketua Menteri II.
Shahelmy turut menggantikan Bung Moktar sebagai Menteri Kerja Raya.
Tiga ADUN Sabah mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Jemaah Menteri baharu kerajaan Sabah ialah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah yang juga ADUN Api-Api Datuk Christina Liew, Phoong Jin Zhe (Luyang) daripada DAP dan James Ratib daripada BN (Sugut).
ementara itu, Liew yang dilantik sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri berkata satu mesyuarat akan diadakan bersama pembantu menteri serta pihak pengurusan kementerian serta agensi terlibat bagi memantapkan sektor pelancongan negeri berkenaan.
“Kami (Sabah) merekodkan 4.3 juta pelancong dan lebih separuh dari China, tetapi selepas pertukaran kerajaan pada 2020 dan pandemik COVID-19, pasaran menjadi sangat sunyi. Kami akan cuba yang terbaik untuk meningkatkan sektor pelancongan kami pada 2023… kita harap ini tahun yang bagus buat Sabah,” katanya.
Sementara itu, Phoong yang dilantik sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah berkata beliau akan menggandakan usaha, masa dan tanggungjawab bagi membantu rakyat dan bersama-sama membangunkan negeri menjadi lebih mampan.
“Saya tahu ini tanggungjawab amat berat dan penggal kerajaan cuma tidak sampai tiga tahun lagi ertinya pelantikan ini saya kena gunakan sebaiknya, tidak ada ‘honeymoon time for me’ khususnya menjelang Tahun Baharu Cina, saya terpaksa batal banyak sesi jamuan kerana ini masa kembali bekerja,” katanya.
Selain itu, James yang memegang portfolio Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat negeri berkata beliau akan menggunakan pengalaman sebagai Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah selama lebih dua tahun untuk membangunkan negeri terutamanya di kawasan miskin tegar.
BACA JUGA: