Bangunan baharu akan dibina sebagai ibu pejabat MOM diharap beri motivasi tingkat prestasi atlet – Zahid

Date:

Share post:

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap bangunan baharu yang akan dibina di Bukit Jalil dan bakal menempatkan ibu pejabat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), akan memberi motivasi baharu dalam meningkatkan prestasi atlet negara.

Beliau berkata pembinaan bangunan baharu itu telah dipersetujui Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, bagi pihak kerajaan.

“Saya harapkan bangunan baharu ini akan memberikan motivasi baharu bagi MOM, untuk membawa atlet-atlet kita menghadapi sukan Olimpik dan sukan-sukan di peringkat serantau ini, dengan sekurang-kurangnya dua pingat emas dalam Olimpik akan datang,” kata beliau dalam ucapan pada Majlis Malam Anugerah MOM ke-27 di sini hari ini.

Ahmad Zahid juga berkata beliau yang diberi kepercayaan oleh Perdana Menteri sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan, amat berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan Menteri Belia dan Sukan dan Ketua Setiausaha kementerian itu yang telah melakukan segala usaha dengan baik.

Beliau berkata pembangunan atlet perlu dilihat secara holistik, yang bukan sekadar menghasilkan atlet untuk mengejar kemenangan di gelanggang, tetapi juga menjadi simbol inspirasi kepada generasi muda dan ikon nilai-nilai murni.

“Pembangunan akar umbi atau `grassroot development’ menjadi tunjang kepada kesinambungan bakat sukan negara.

“Melalui pelaburan dalam latihan dan program sejak usia muda, kita bukan hanya melahirkan juara dunia tetapi individu berkualiti yang berdaya tahan dan berakhlak mulia,” katanya.

Ahmad Zahid turut menyeru supaya koordinasi dan penyelarasan untuk pembangunan sukan diwajibkan, dalam usaha mengangkat martabat sukan negara.

Sementara itu, Presiden MOM Tan Sri Norza Zakaria mengucapkan penghargaan dan terima kasih atas kelulusan pembelian sebidang tanah di Bukit Jalil, bagi pembinaan ibu pejabat baharu persatuan sukan itu yang terletak di hadapan Stadium Hoki.

“Dengan lokasi Sports City di Bukit Jalil, MOM akan membina ibu pejabat baharu berkonsepkan bangunan hijau yang mesra alam dan jimat tenaga, seiring hasrat kami menerapkan kaedah tadbir urus dan tatakelola yang moden,” katanya.

Norza berkata ibu pejabat yang dikenali Olympic House Malaysia itu berinspirasikan ibu pejabat Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) di Lausanne, Switzerland diiktiraf sebagai antara binaan mesra alam yang menerima persijilan bangunan mampan.

– BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Kenaikan tarif hanya untuk sektor swasta – PM Anwar

Ikut fakta dan data, ekonomi bukan wayang, ia berasaskan fakta. Fakta menunjukkan pelaburan kita meningkat jauh lebih baik berbanding (pentadbiran) Perdana Menteri sebelum ini

Kedaulatan negara harus dipertahan walau hanya seketul batu karang – Agong

Tindakan tegas melalui saluran diplomatik, undang-undang dan pertahanan perlu diambil bagi memastikan hak kedaulatan serta kepentingan negara terus kekal terpelihara, walaupun hanya seketul batu karang di tengah lautan

Reformasi Geran Tanah Adat untuk perkasa potensi ekonomi – Lawrence

Tanah NT sering menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan dan menyukarkan untuk membangunkan atau menjana pendapatan daripada aset mereka

LKIM berhasrat perbanyak vesel bersaiz besar bantu kekang pencerobohan nelayan asing – Muhammad Faiz

Bagi saya, apabila di perairan itu kurang nelayan vesel besar, ia memudahkan pencerobohan serta ada sebahagian warga asing mengambil kesempatan. Pada masa sama kita akan memohon kerajaan menambah kekuatan aset bagi meningkatkan pengawasan dan kawalan perairan