KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mahu warga Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah mengamalkan dan membudayakan ilmu serta kaedah pengajaran berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Beliau berkata pendekatan itu sangat signifikan sebagai pemudah cara dalam pengajaran supaya seiring dengan aspirasi negara untuk memiliki sistem pendidikan berdaya saing, kompetitif dan cemerlang.
“Kewujudan sebuah sistem pendidikan bersifat ‘glokal’ iaitu mampu berdaya saing di peringkat global tetapi berpegang teguh pada jati diri amat penting.
“Justeru, warga Jabatan Pendidikan Sabah khususnya akan berperanan dan bertanggungjawab dalam menghadapi era Revolusi Industri 4.0,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pengiktirafan Kecemerlangan Akademik (MEKAR) ke-12 JPN Sabah 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini semalam.
Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Raisin Saidin.
Hajiji berkata kerajaan Sabah akan sentiasa menyokong usaha JPN untuk menjayakan hasrat sembilan fokus landskap pendidikan negeri yang terkandung di bawah hala tuju pencapaian yang digariskan oleh jabatan itu mulai tahun ini hingga 2025.
Beliau berkata ini termasuk deklarasi untuk menoktahi Gred Purata Negeri Sijil Pelajaran Malaysia kepada angka lima seiring hala tuju Sabah Maju Jaya yang menggariskan pembangunan modal insan sebagai antara objektif utama.
Hajiji berkata Sabah juga akan terus memberi kerjasama kepada Kementerian Pendidikan menerusi JPN dalam usaha merealisasikan agenda kerajaan ke arah meningkatkan mutu pendidikan di negeri itu.
Kerjasama itu amat penting kerana kecemerlangan pendidikan akan menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti kehidupan rakyat dan dalam masa sama melahirkan modal insan berkemahiran, cemerlang dan mampu bersaing.
Mengenai MEKAR, Hajiji berharap ia mampu menjadi pendorong dan pembakar semangat warga pendidik untuk terus meningkatkan kecemerlangan pada masa akan datang, seterusnya memangkin kemajuan sektor pendidikan negeri agar selari dengan kepesatan dunia pendidikan kini yang terkait dengan pembangunan serta kecanggihan teknologi maklumat dalam abad ke-21.
-BERNAMA