
Keputusan kerajaan untuk meningkatkan Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) daripada RM160 kepada RM300 sehektar merupakan satu langkah yang sangat tepat dalam keadaan semasa.
Sektor pertanian, khususnya pesawah padi, kini berdepan tekanan kos yang semakin meningkat akibat ketidaktentuan harga bahan api dan rantaian bekalan global. Dalam situasi ini, sokongan tambahan seperti ini bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan untuk memastikan kelangsungan pengeluaran makanan negara.
Bagi saya, peningkatan insentif ini bukan sekadar bantuan kewangan semata-mata.
Ia adalah satu bentuk perlindungan kepada keseluruhan ekosistem makanan. Jika pesawah tidak mampu menanggung kos, pengeluaran akan terjejas, dan akhirnya pengguna juga akan menanggung kesannya melalui kenaikan harga beras dan barangan makanan lain.
Saya juga melihat langkah menaikkan bantuan tunai diesel BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu sebagai satu tindakan yang selari dengan keperluan semasa.
Dalam keadaan harga bahan api yang tidak stabil, bantuan ini penting untuk memastikan aktiviti pertanian, pengangkutan dan ekonomi harian dapat terus berjalan tanpa gangguan besar. Namun, apa yang lebih penting ialah memastikan bantuan ini benar-benar sampai kepada golongan yang layak.
Dalam masa yang sama, keputusan untuk melonggarkan syarat pembelian diesel bagi kegunaan jentera pertanian juga merupakan langkah yang praktikal.
Realitinya di lapangan, petani memerlukan fleksibiliti untuk menjalankan operasi mereka dengan lancar. Sekiranya terlalu banyak kekangan birokrasi, ia hanya akan melambatkan kerja dan menjejaskan produktiviti. Walau bagaimanapun, saya berpandangan bahawa dalam setiap bentuk subsidi atau bantuan, aspek pemantauan tidak boleh diketepikan.
Risiko ketirisan dan penyalahgunaan sentiasa wujud. Oleh itu, ketegasan dalam penguatkuasaan dan ketelusan dalam pelaksanaan adalah sangat penting bagi memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan memberi manfaat sebenar.
Dalam konteks yang lebih besar, semua langkah ini perlu dilihat sebagai respons kepada krisis tenaga global yang memberi kesan langsung kepada ekonomi negara.
Kenaikan harga minyak dan gangguan bekalan bukan sahaja menjejaskan kos pengeluaran, tetapi juga memberi tekanan kepada keseluruhan rantaian bekalan makanan. Oleh itu, tindakan kerajaan untuk bertindak secara proaktif adalah sesuatu yang wajar dan perlu disokong.
Saya sokong langkah kerajaan dalam meningkatkan insentif kepada pesawah dan bantuan diesel ini. Ia menunjukkan kepekaan terhadap cabaran semasa serta komitmen untuk memastikan sektor pertanian terus berdaya tahan.
Namun, kejayaan sebenar tidak hanya bergantung kepada pengumuman dasar, tetapi kepada pelaksanaan yang cekap, pemantauan yang berkesan dan keupayaan memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Jika ini dapat dilaksanakan dengan baik, langkah ini bukan sahaja membantu pesawah, tetapi turut menjamin kestabilan bekalan makanan dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.
