Yayasan Sarawak pastikan bakal Pelajar IPT di bawah institusinya dapat tajaan

Date:

Share post:

KUCHING: Yayasan Sarawak akan memastikan pelajar yang berjaya memasuki institusi pengajian tinggi (IPT) di bawah agensinya mendapat penajaan sekiranya memenuhi syarat yang ditetapkan.

Pengarah Yayasan Sarawak Mersal Abang Rosli berkata, inisiatif itu merupakan antara keistimewaan yang disediakan untuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang menghadiri Ekspo Pendidikan Sarawak pada 27 Julai ini.

“Jika mereka berjaya memasuki institusi di bawah Yayasan Sarawak, kita akan memastikan pelajar ini mendapat penajaan dengan syarat mereka mendapat kredit Bahasa Melayu di peringkat SPM.

“Bahkan, kita juga akan membantu mereka mendapat bantuan kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) sebanyak RM1,000 secara sekali sahaja jika pendapatan perkapita keluarga adalah di bawah RM1,500,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Ekspo Pendidikan Sarawak 2024 di Auditorium Yayasan Sarawak di sini, hari ini.

Antara keistimewaan lain pula, Mersal menambah, pelajar berkenaan juga akan menerima bimbingan daripada wakil institusi yang menyediakan khidmat nasihat dan bimbingan dalam pemilihan kursus dan minat berdasarkan kepada kelayakan mereka.

“Mereka juga akan berpeluang mendaftar secara langsung ke institusi terbabit bagi kemasukan pada bulan September ini selain dapat mengikuti English Enhancement Program (EEP) secara percuma di IPT milik Yayasan Sarawak selama sebulan secara percuma.

“Bermakna yuran dan penginapan pelajar terbabit dibiayai sepenuhnya oleh Yayasan Sarawak berserta wang saku sebanyak RM300,”katanya.

Selain itu ujarnya, pelajar juga layak dipertimbangkan mendapatkan Skim Bantuan Bursari BP40.

“Skim ini terbuka untuk pelajar Bumiputera di mana mereka menerima 80 peratus subsidi yuran pengajian daripada Yayasan Sarawak dan universiti kita.

“Manakala di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) pula, Skim Bantuan Bursari ini bukan hanya terbuka kepada Bumiputera tetapi juga bukan Bumiputera dalam kalangan keluarga B40,” ujarnya.

Bagi pelajar yang berminat mengikuti kursus kemahiran dan berjaya memasuki institusi seperti Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) dan institusi kemahiran di bawah panel Yayasan Sarawak, Mersal berkata, mereka juga berpeluang mendapat penajaan tersebut.

“Pada masa sama, pelajar terbabit juga akan menerima bantuan kemasukan ke institusi kemahiran sebanyak RM1,000 di Sarawak dan RM1,500 bagi luar Sarawak secara sekali sahaja.

“Pelajar juga berpeluang mendapat diskaun pembayaran balik pinjaman sebanyak 50 peratus daripada jumlah pinjaman yang diterima jika mereka berjaya menamatkan kursus kemahiran masing-masing,” katanya.

Pada majlis itu Yayasan Sarawak telah menyalurkan peruntukan kepada 45 Pejabat Daerah di seluruh Sarawak bagi membolehkan mereka menjayakan Ekspo Pendidikan Sarawak dengan jumlah keseluruhannya sebanyak RM675,000. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Kenaikan Geran Khas Interim : Hadiah Istimewa sambutan Hari Malaysia

Ia jelas menunjukkan komitmen Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI terhadap pembangunan dan kesejahteraan negeri Sabah

Isu Laut China Selatan perlu diuruskan secara diplomatik – Fahmi Fadzil

Pendirian Malaysia mengenai Laut China Selatan kekal konsisten. Kami komited mempertahankan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan kami di kawasan maritim kami, seperti digariskan dalam Peta Malaysia 1979

PM adakan lawatan ke Sabah selama dua hari

Perdana Menteri dijadual tiba di Kota Kinabalu malam ini sebelum menghadiri Majlis Makan Malam Kerajaan Negeri Sabah di Magellan Sutera Harbour, yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor

UMNO akan perhalusi kerjasama bersama PH hadapi PRN Sabah

UMNO Sabah menyokong kenyataan Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa kempen BN-PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota akan dijadikan model dan formula kepada jentera kerajaan Perpaduan