Jumlah terkini miskin tegar di Sabah berkurangan kepada 5,379 keluarga

Date:

Share post:

KOTA KINABALU: Kadar kemiskinan tegar di Sabah mencatatkan penurunan kepada hanya 5,379 Ketua Isi Rumah (KIR) direkodkan dalam sistem e-Kasih setakat 30 Jun lepas, berbanding 22,510 pada tahun lepas, Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata sebanyak 17,131 KIR direkodkan telah berubah status disebabkan beberapa faktor iaitu 14,146 KIR didapati telah berubah status kepada miskin dengan jumlah pendapatan isi rumah antara RM1,218 hingga RM2,742.

“Sebanyak 2,093 KIR pula didapati telah berubah status kepada melebihi paras miskin dengan jumlah pendapatan melebihi RM2,742, 477 KIR didapati telah meninggal dunia tetapi masih dalam senarai ‘locked figure’, 394 KIR tidak dapat dikesan manakala 21 KIR telah pun berpindah negeri,” katanya pada Persidangan DUN Sabah di sini hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) yang ingin tahu langkah diambil kerajaan bagi memastikan sasaran menoktahkan kemiskinan tegar di Sabah pada bulan ini dapat direalisasikan.

Hajiji berkata pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan satu kepercayaan bahawa beliau yakin kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri mampu untuk menoktahkan miskin tegar berdasarkan tempoh yang telah dinyatakan.

“Meskipun kerja-kerja lapangan dibatasi oleh keadaan geografi Sabah yang unik, kerajaan negeri akan tetap menyokong aspirasi Perdana Menteri untuk direalisasikan pada bulan Julai ini. Walau bagaimanapun kerajaan negeri akan melanjutkan tempoh sekiranya perlu.

“Sebagai komitmen dan sokongan terhadap pengumuman Perdana Menteri, saya telah mengarahkan Sekretariat Sabah Maju Jaya (Sekretariat SMJ) bersama-sama dengan Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (PPN Sabah) untuk menubuhkan pasukan petugas khas bagi mempercepat agenda menoktahkan miskin tegar di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Sabah telah membangunkan 13 indikator untuk menentukan kesahihan status miskin tegar dan indikator berkenaan juga bertujuan memberi keutamaan kepada jenis bantuan yang perlu diberikan secara bersasar dan tepat.

“Sekretariat SMJ sebagai urus setia Program Menoktahkan Miskin Tegar di Sabah akan bertindak menyelaras data KIR yang berstatus miskin tegar yang telah menerima bantuan seterusnya dipadankan dengan bantuan bersesuaian.

“Aktiviti pemadanan dan intervensi bantuan merupakan kerjasama bersama 27 Agensi pemberi bantuan di dalam program ini yang terdiri daripada 10 kementerian Sabah, sembilan agensi kerajaan negeri, tujuh agensi kerajaan Persekutuan dan satu pemain industri,” katanya.

-BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Kenaikan Geran Khas Interim : Hadiah Istimewa sambutan Hari Malaysia

Ia jelas menunjukkan komitmen Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI terhadap pembangunan dan kesejahteraan negeri Sabah

Isu Laut China Selatan perlu diuruskan secara diplomatik – Fahmi Fadzil

Pendirian Malaysia mengenai Laut China Selatan kekal konsisten. Kami komited mempertahankan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan kami di kawasan maritim kami, seperti digariskan dalam Peta Malaysia 1979

PM adakan lawatan ke Sabah selama dua hari

Perdana Menteri dijadual tiba di Kota Kinabalu malam ini sebelum menghadiri Majlis Makan Malam Kerajaan Negeri Sabah di Magellan Sutera Harbour, yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor

UMNO akan perhalusi kerjasama bersama PH hadapi PRN Sabah

UMNO Sabah menyokong kenyataan Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa kempen BN-PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota akan dijadikan model dan formula kepada jentera kerajaan Perpaduan