BNM unjurkan perkembangan ekonomi Malaysia sekitar 4.0 hingga 5.0 peratus tahun ini

Date:

Share post:

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) kekal mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang 4.0 hingga 5.0 peratus tahun ini berlandaskan pertumbuhan suku pertama 2024 yang memberangsangkan pada 4.2 peratus.

Gabenor BNM Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata unjuran itu berasaskan limpahan lebih besar daripada kitaran teknologi yang meningkat, ketibaan pelancong dan pelaksanaan pantas projek pelaburan baharu dan sedia ada.

Walau bagaimanapun, pertumbuhan itu mungkin menghadapi risiko negatif iaitu permintaan luar yang lebih lemah daripada jangkaan, peningkatan konflik geopolitik dan penurunan ketara pengeluaran komoditi, katanya pada sidang media mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2024 di sini, pada Jumaat.

“Sementara itu, kadar pertukaran efektif nominal (NEER), yang mengukur prestasi ringgit berbanding mata wang negara rakan dagang utama, meningkat sebanyak 2.5 peratus,” katanya.

Beliau berkata berbanding dolar AS (AS$), ringgit menambah nilai sebanyak 1.6 peratus bagi tempoh daripada 26 Feb hingga 15 Mei, 2024, manakala berbanding mata wang serantau, ringgit menunjukkan prestasi yang agak baik.

Abdul Rasheed berkata tekanan ke atas mata wang tempatan telah berkurangan sejak bank pusat itu melaksanakan usaha terselaras dengan syarikat berkaitan kerajaan, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, syarikat dan pelabur untuk menggalakkan mereka menghantar pulang pendapatan asing sejak akhir Februari, dan usaha itu telah memberi hasil yang positif.

Ketika ditanya mengenai kesan kemungkinan rasionalisasi subsidi ke atas diesel dan RON95, gabenor berkata bagi jangka masa pendek, langkah itu mungkin memberikan sedikit kesan dari segi penggunaan dan pelaburan namun boleh diimbangi menerusi pemindahan tunai atau pemindahan pendapatan daripada kerajaan (untuk golongan yang memerlukan).

“Bagi impak jangka masa panjang, langkah itu boleh memberi kesan positif kepada negara dari segi kedudukan fiskal,” katanya.

Beliau berkata rasionalisasi subsidi bahan api bukan sahaja mempengaruhi perbelanjaan isi rumah malah juga mendorong syarikat untuk melabur dalam pengeluaran cekap tenaga dan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi.

“Berdasarkan persekitaran semasa dari segi pertumbuhan, kita mencatatkan angka pertumbuhan yang baik dan aliran inflasi sederhana.

“Ini menyediakan tetingkap peluang yang baik untuk kita melaksanakan rasionalisasi dan pembaharuan subsidi,” katanya.

Abdul Rasheed berkata walau bagaimanapun, perkara penting itu sewajarnya diumumkan kerajaan dan perlu meliputi bukan sahaja mengenai mekanisme malah juga dari segi kewangan dan senarionya.

“Lebih penting ialah cara memastikan pemindahan pendapatan yang adil dan saksama kepada segmen modal masyarakat,” katanya.

Mengenai pelarasan gaji penjawat awam pada Disember ini, beliau berkata berdasarkan pengalaman, pelarasan itu dijangka tidak memberi kesan besar kepada kadar inflasi.

Beliau berkata kesan pengeluaran Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang baru diperkenalkan juga akan menjadi minimum terhadap kadar inflasi.

-BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

PDRM mahu bina PULAPOL serba moden di Sabah

PDRM dalam rancangan jangka panjang akan memindahkan PULAPOL Kota Kinabalu ke satu kawasan di Tuaran yang mana tapak bagi pembinaannya sudah dikenal pasti dan kita hanya menunggu bajet dari kerajaan bagi merealisasikan rancangan ini

JAKIM pertimbang cadangan untuk wajibkan sijil halal bagi restoran

Apabila katakan kita nak mewajibkan semua (restoran) ada sijil halal, beberapa akta ataupun undang-undang itu perlu perlu dipinda

Kerajaan Sabah tubuh Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan

Keputusan untuk menubuhkan jawatankuasa khas ini adalah disebabkan oleh kes-kes meluas kanak-kanak yang dilahirkan di Sabah tanpa dokumen dan kad pengenalan (IC) yang menyebabkan mereka menghadapi masalah seperti pergi ke sekolah. Selalunya, perkara ini disebabkan oleh kecuaian ibu bapa mereka

Keunikan Sabah dari sudut perpaduan perlu dipertahankan

Ini adalah aset yang sangat penting khususnya di Sabah dan hasil kepelbagaian ini lah yang menyumbang dalam membangunkan negeri ini serta turut membantu dalam mengekalkan keamanan