KUALA LUMPUR – Kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia sedang dalam usaha untuk meneliti cadangan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai pelaksanaan model ‘gaji kehidupan wajar’ di negara ini.
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, model gaji progresif itu memerlukan kajian yang lebih mendalam selaras dengan situasi ekonomi dan perburuhan semasa di Malaysia.
Ini kerana katanya, pelaksanaan gaji progresif dan gaji minimum mempunyai objektif yang sama iaitu memberi perlindungan kepada pekerja yang menerima gaji terendah.
“Sehubungan itu, kerajaan perlu mengkaji secara teliti dan mengenal pasti model yang paling sesuai untuk negara kita,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang bertanyakan sekiranya kerajaan akan mempertimbangkan untuk laksana cadangan model gaji progresif.
Menurutnya, Laporan Tahunan 2017 BNM sebelum ini menyarankan kadar gaji kehidupan wajar individu bujang dewasa yang menetap di bandar adalah RM2,700, manakala pasangan tanpa anak pula adalah RM4,500 dan pasangan dengan dua anak sebanyak RM6,500.
Sementara itu, menjawab soalan asal Awang mengenai rasionalnya kerajaan menangguhkan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2022 (PGM2022) terhadap majikan kurang lima pekerja meskipun perintah tersebut terpakai untuk majikan kategori lain, Sivakumar menjelaskan keputusan itu dibuat mengambil kira pelbagai aspek.
Katanya, penangguhan ini dibuat antaranya dengan mengambil kira memorandum daripada pelbagai pihak terlibat yang menyatakan bahawa mereka terpaksa menanggung kos tambahan akibat pelaksanaan PGM2022 yang akhirnya akan menyebabkan peningkatan kos pengeluaran operasi dan perkhidmatan syarikat.
“Penangguhan tambahan selama enam bulan ini terhadap perniagaan mikro, dengan pekerjanya kurang daripada lima orang diharap dapat memberikan peluang untuk mereka menyelaras dan mengimbangi keperluan kewangan, yang sedikit sebanyak akan membantu memulihkan kedudukan ekonomi syarikat,” katanya.
BACA JUGA: