Dari Perancangan ke Pelaksanaan: Kecekapan Jadi Penentu

Hajiji mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg)

Penegasan Ketua Menteri mengenai keutamaan kepada projek keperluan mendesak sebagai satu mesej yang sangat jelas bahawa pembangunan bukan lagi soal perancangan semata-mata, tetapi soal kecekapan pelaksanaan. Keadaan Sabah hari ini, rakyat tidak hanya mahu melihat pengumuman projek, tetapi mahu melihat hasil yang cepat dan dirasai secara langsung, khususnya dalam sektor penting seperti pendidikan dan kesihatan.

Peruntukan sebanyak RM6.59 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang melibatkan lebih 1,200 projek menunjukkan komitmen besar kerajaan. Namun bagi saya, angka sahaja tidak mencukupi jika tidak disertai dengan pemantauan yang berkesan.

Isu kelewatan projek bukan perkara baharu. Ia sering berpunca daripada masalah asas seperti tanah, utiliti dan penyelarasan antara agensi. Sebab itu, arahan untuk mempertingkat pemantauan adalah langkah yang tepat dan perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak pelaksana.

Saya juga melihat penekanan terhadap projek kecil yang ‘mudah disiapkan’ sebagai satu pendekatan yang praktikal. Walaupun berskala kecil, projek seperti ini mempunyai impak yang cepat kepada rakyat. Jika dilaksanakan dengan cekap, ia mampu meningkatkan keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan.

Namun, apa yang sering berlaku ialah projek kecil ini juga terperangkap dalam kelewatan yang tidak sepatutnya. Ini menunjukkan bahawa isu sebenar bukan pada saiz projek, tetapi pada disiplin pelaksanaan.

Dalam masa yang sama, saya berpandangan bahawa usaha menoktahkan kemiskinan tegar melalui SMJ 2.0 adalah satu langkah yang tepat dan perlu diberi keutamaan berterusan. Dengan peruntukan belanjawan yang besar serta fokus kepada infrastruktur asas seperti air, elektrik dan jalan raya, asas kepada pembangunan ekonomi negeri sebenarnya sedang diperkukuh.

Tetapi sekali lagi, kejayaan semua ini bergantung kepada sejauh mana projek dapat disiapkan mengikut jadual dan memberi manfaat sebenar kepada rakyat. Saya juga melihat bahawa hala tuju SMJ 2.0 yang menekankan sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan sebagai langkah yang seimbang.

Namun, tanpa infrastruktur yang mencukupi dan penyelesaian kepada isu asas, potensi sektor-sektor ini sukar untuk berkembang secara optimum. Dalam hal ini, pelaksanaan projek infrastruktur bukan sekadar sokongan, tetapi menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

Dapat disimpulkan, saya melihat keutamaan kepada projek keperluan mendesak sebagai satu pendekatan yang tepat dalam memastikan pembangunan Sabah benar-benar memberi impak. Namun, fokus selepas ini perlu beralih kepada pelaksanaan yang lebih tegas, pemantauan yang konsisten dan penyelesaian segera terhadap isu di peringkat lapangan.

Akhirnya, kejayaan sesuatu projek tidak diukur pada nilai peruntukan, tetapi pada sejauh mana ia memberi manfaat nyata kepada rakyat dalam tempoh yang munasabah.

- Advertisement -spot_img

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here