Kenaikan tarif hanya untuk sektor swasta – PM Anwar

Date:

Share post:

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kenaikan tarif elektrik yang akan dilaksanakan mulai Julai ini hanya melibatkan sektor industri serta golongan berpendapatan tinggi, tanpa memberi kesan kepada 85 peratus rakyat negara ini.

Beliau berkata, kenaikan tarif itu adalah mengikut kaedah Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT).

“Ikut fakta dan data, ekonomi bukan wayang, ia berasaskan fakta. Fakta menunjukkan pelaburan kita meningkat jauh lebih baik berbanding (pentadbiran) Perdana Menteri sebelum ini.

“Faktanya, kadar pertumbuhan (ekonomi) juga meyakinkan, faktanya ringgit terus mengukuh walaupun berdepan keadaan geopolitik tidak menentu. Autanya lain,” katanya.

Menurut Anwar, kenaikan tarif ini merupakan keperluan untuk memastikan kestabilan ekonomi negara dan sumber pendapatan yang mencukupi bagi menampung perbelanjaan penting seperti pendidikan dan kesihatan.

Beliau menjelaskan, kadar kenaikan yang dinyatakan beliau dalam satu majlis pada Isnin adalah maklum balas kepada ucapan Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Datuk Ng Yih Pyng, berhubung kenaikan tarif kepada industri.

“Kita perlu faham bahawa kenaikan tarif ini dikenakan ke atas sektor industri, bukan kepada negara, bukan kepada rakyat. (Dan) Saya kata, itupun bukan 14 peratus seperti yang diumumkan.

“Kenaikan tarif kepada industri dan golongan maha kaya, kita nak pertahan apa dia, kalau tak cukai kepada orang kaya, nak tambah peruntukan untuk sekolah dan hospital, dari mana wangnya? Jadi kita perlu terima kenyataan kenaikan tarif yang munasabah kepada industri dan golongan kaya.

“Dengar betul-betul. Ini dengar dengan sentimen marah. Ini penyakit marah, bukan penyakit fakta ekonomi,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang mendakwa kerajaan ‘flip flop’ berhubung dasar kenaikan tarif elektrik sehingga mengelirukan banyak pihak.

Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan, kerajaan sudah menegur Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhubung pengumuman kenaikan kadar tarif elektrik sebelum ini yang dibuat secara umum.

“Saya katakan kita patut cerakinkan, apa dia untuk kategori yang dinaikkan.

“Jadi saya tegaskan semula kenaikan kadar elektrik untuk industri akan berlaku mengikut kaedah ICPT mulai Julai ini,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Sabah dan Politik Warlord: Demokrasi Dibelenggu, Negeri Terus Terikat

Di celah gemuruh perjuangan autonomi, suara pembangunan luar bandar, dan retorik kemajuan rakyat, tersembunyi satu kebenaran yang pahit...

Hajiji Beri Bayangan Pembubaran DUN Selepas Perhimpunan Gagasan Rakyat

Nampaknya pertembungan politik di Sabah semakin tajam menjelang kemungkinan PRN ke-17. Kenyataan Hajiji yang menyokong pandangan Armizan agar...

Daya Tahan Bukan Soal Tak Jatuh, Tapi Soal Berapa Kali Sanggup Bangkit Selepas Jatuh

Hidup ini bukan pentas untuk manusia sempurna. Ia bukan jalan yang rata, tidak juga bebas dari luka dan...

SST Diperluas: Antara Harapan, Ketelusan dan Tanggungjawab Negara

Ketika dunia masih bergelut dengan kesan pasca pandemik, inflasi makanan, konflik geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi global, Malaysia sedang...