Malaysia destinasi pertama PM Jepun untuk mulakan kerja diplomasi 2025

Date:

Share post:

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba memilih Malaysia sebagai destinasi untuk melancarkan hubungan diplomatiknya bagi 2025 serta memulakan lawatan rasmi dua hala pertamanya ke luar negara sejak memegang jawatan Oktober lalu.

Ia sekali gus sebagai satu isyarat yang menekankan hubungan erat dan strategik antara kedua-dua negara.

“Kerja diplomasi saya pada 2025 secara rasmi bermula di sini, di Malaysia,” katanya dalam artikel eksklusif yang dikongsikan kepada Bernama menjelang lawatannya, menyatakan penghormatan beliau kerana lawatan itu bertepatan dengan Malaysia menggalas jawatan Pengerusi ASEAN.

Lawatan Ishiba mencerminkan hubungan erat yang berkekalan antara Malaysia dan Jepun, hubungan yang sudah diperkukuh selama beberapa dekad dan dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) pada Disember 2023.

Ishiba berkata, perkongsian itu mendorong kerjasama kukuh dalam pelbagai bidang termasuk keselamatan, transformasi hijau (GX) dan kerjasama antarabangsa.

Semasa lawatan itu, Ishiba berkata, beliau berhasrat untuk memperbaharui kerjasama sebagai “Rakan Kongsi Strategik Komprehensif” dan membina hubungan yang lebih mendalam yang bakal beliau ketengahkan melalui pertemuannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Di tengah-tengah landskap antarabangsa yang semakin tidak menentu dengan pertambahan konflik dan perpecahan, Ishiba menekankan kepentingan kerjasama antara Jepun dan Malaysia, kedua-duanya komited untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dalam merealisasikan Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka.

“Kerjasama sedemikian adalah penting untuk keamanan dan kemakmuran kedua-dua negara serta rantau yang lebih luas,” katanya.

Ishiba mengulangi komitmen Jepun untuk menyokong kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, terutama dalam menangani cabaran antarabangsa dan serantau yang mendesak, termasuk krisis kemanusiaan di Gaza.

“Jepun komited untuk menyokong kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dalam menangani pelbagai isu dalam komuniti antarabangsa dan serantau,” katanya.

Beliau juga melahirkan kebimbangan mendalam Jepun terhadap krisis kemanusiaan yang berterusan di Semenanjung Gaza dan menyatakan bahawa Jepun telah menyediakan bantuan kemanusiaan berjumlah kira-kira US$230 juta kepada rakyat Palestin sejak 7 Oktober lalu.

Ishiba turut menekankan kerjasama Jepun dengan Malaysia dalam pembinaan semula pertanian di Palestin, memanfaatkan kepakaran Malaysia dalam bidang pertanian tropika.

Beliau berkata, Jepun melancarkan persidangan mengenai kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) pada 2013 sebagai inisiatif unik untuk menyokong Palestin.

“Kami berharap dapat memanfaatkan sepenuhnya rangka kerja ini bersama Malaysia untuk menyumbang kepada penstabilan situasi di Timur Tengah,” katanya. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

RM75.5 juta bantuan pendidikan diperuntukkan tahun ini untuk laksanakan 13 inisiatif – KM Hajiji

Semua ini adalah selaras dengan dasar kerajaan negeri seperti termaktub dalam Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) bahawa kita terus komited menjadikan pendidikan sebagai teras utama pembangunan modal insan di negeri ini

Tukar pengurusan kanan Sapura antara syarat untuk suntikan dana diberikan – PM Anwar

Mesti diganti dengan pengurusan baharu dan kalau ada permasalahan yang membabitkan keperluan siasatan, jadi ini pertimbangan kita

70 peratus pelajar asrama penuh disarankan memilih aliran STEM – PM Anwar

Kita ada Infineon, NVIDIA, Google, Microsoft dan sekarang kecerdasan buatan (AI) di merata tempat, tetapi anak-anak kita tidak ambil STEM

Ascend Airways mulakan operasi pada akhir 2025

Kami komited untuk memperkukuh landskap penerbangan Malaysia dengan menyediakan perkhidmatan ACMI yang boleh dipercayai kepada syarikat penerbangan, pengendali pelancongan, broker sewaan, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)