Lawatan kerja pertama Prabowo ke Malaysia hari ini

Date:

Share post:

SEPANG: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto tiba di sini hari ini untuk lawatan kerja sehari ke Malaysia.

Pesawat khas yang membawa Prabowo serta delegasi mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada jam 10.15 pagi tadi.

Ketibaan Prabowo disambut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Hermono, yang kemudiannya melintasi barisan kawalan kehormatan statik oleh 28 pegawai serta anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) yang diketuai Kapten Raja Azri Syahir.

Prabowo dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disusuli majlis makan tengah hari secara tertutup sebelum berlepas pulang petang ini.

Ia adalah lawatan kerja pertama Prabowo Malaysia sejak memegang jawatan itu pada Oktober 2024.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini, memaklumkan pertemuan itu dijangka memberi tumpuan kepada kerjasama dua hala dan meneroka potensi kerjasama baharu untuk memperkukuh hubungan kedua-dua negara.

Lawatan itu adalah cerminan hubungan istimewa antara Malaysia dan Indonesia yang ditunjangi oleh kerjasama kukuh dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, sosio-budaya, pertahanan dan keselamatan.

“Dengan Malaysia mengambil alih peranan sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, kedua-dua pemimpin dijangka bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh Pembinaan Komuniti ASEAN, kerjasama serantau serta menangani cabaran global,” menurut Wisma Putra.

Malaysia secara rasmi memegang jawatan Pengerusi ASEAN bermula bulan ini, dengan Tema Kepimpinan ASEAN 2025 Malaysia adalah ‘Keterangkuman dan Kelestarian’.

Sebelum ini, Malaysia pernah memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Pada 2023, Indonesia adalah rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah dagangan RM111.21 bilion (AS$24.39 bilion).

Dari Januari hingga Oktober 2024, jumlah dagangan dua hala telah mencecah RM95.50 bilion (AS$20.75 bilion) berbanding RM94.37 bilion (AS$20.69 bilion) dalam tempoh yang sama pada 2023.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Beberapa kawasan di Sandakan mengalami banjir kilat

Pasukan bomba bertindak menjalankan operasi memindahkan empat mangsa yang terperangkap di dalam rumah akibat banjir di kawasan kediaman mereka

Berwaspada hadapi banjir akibat luruan monsun di kawasan berisiko – Fahmi

Agensi Pengurusan Bencana Negara sentiasa bersedia untuk hadapi dan (begitu juga) bagi agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia

Genjatan senjata di Semenanjung Gaza dijadual bermula Ahad ini – PM Qatar

Mohammed turut memaklumkan bahawa Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS) "akan berusaha memastikan pelaksanaan perjanjian itu" dengan mekanisme bagi memantau pelaksanaannya serta menangani sebarang kemungkinan pelanggaran

AirAsia menyasarkan 5 juta tetamu diterbangkan ke Sabah tahun ini

Penambahbaikan ini dijangka akan menyumbang kepada peningkatan 35 peratus dalam jumlah penerbangan kepada lebih 51,500 penerbangan setahun serta pertumbuhan 43 peratus dalam kapasiti tempat duduk kepada 9.8 juta tempat duduk setahu