Perhimpunan Aman: Kumpulan mahasiswa tidak mewakili UMS

Date:

Share post:

KOTA KINABALU: ‘Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah’, esok yang dirancang sekumpulan pelajar menamakan diri sebagai Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS), tidak mewakili universiti itu atau mana-mana entitinya.

Menjelaskan perkara itu, Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, berkata kumpulan mahasiswa yang menganjurkan perhimpunan di hadapan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di Menara Kinabalu itu perlu mematuhi undang-undang.

“UMS menasihatkan kumpulan mahasiswa yang menganjur perhimpunan itu agar sentiasa mematuhi keperluan undang-undang berkaitan termasuk arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa demi kesejahteraan dan keselamatan mahasiswa serta ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu susulan laporan mengenai penganjuran perhimpunan berkenaan oleh sekumpulan pelajar UMS yang mahu meneruskannya meskipun bertembung dengan program lain di lokasi sama, esok.

Berdasarkan kenyataan sekretariat perhimpunan itu sebelum ini, mereka antara lain menuntut ketelusan dan kecekapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menangani skandal rasuah ahli-ahli politik Sabah.

Mereka juga menyatakan bantahan terhadap pelantikan Tun Musa Aman sebagai Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah atas dakwaan pernah terbabit dengan skandal rasuah.

Kumpulan berkenaan turut menggesa Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor meletakkan jawatan atas dakwaan kelemahan dalam mengurus negeri, termasuk skandal rasuah yang dikaitkan dengan ahli politik Sabah.

Sementara itu, Kasim berkata UMS menyediakan landasan dan saluran untuk mahasiswa membincangkan isu-isu semasa secara ilmiah dengan mengutamakan fakta serta wacana yang rasional dan beretika.

“Sebarang idea dan cadangan ke arah kesejahteraan masyarakat perlulah disampaikan secara berhemah kerana mahasiswa adalah golongan terpelajar yang mampu menyumbang kepada keharmonian masyarakat melalui tindakan matang yang berpandukan etika, peraturan dan undang-undang,” katanya.

Beliau turut menggesa agar pelajar lebih fokus kepada peperiksaan akhir yang akan berlangsung tidak lama lagi dan menyeru agar pelajar UMS tidak terbabit dalam perhimpunan yang boleh mengganggu-gugat keharmonian dan keselamatan awam.

“Warga UMS juga sentiasa dinasihatkan agar menjunjung kesopanan dan kesusilaan terutamanya ketika berinteraksi sosial sesama manusia dengan cara menghormati orang lain, berkomunikasi secara berhemah, bertanggungjawab, bertoleransi dan bersangka baik,” katanya.

Terdahulu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS, dalam satu kenyataan media menyatakan kebimbangan terhadap pembabitan pelajar universiti itu dalam bantahan ke atas pelantikan Tun Musa sebagai TYT baharu.

MPP UMS berkata tindakan itu berpotensi melanggar Seksyen 121B Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman berat terhadap sebarang tindakan yang mencabar kedudukan Raja atau Yang di-Pertua Negeri.

Katanya, walaupun hak untuk menyuarakan pendapat dijamin dalam Perlembagaan, proses pelantikan Yang di-Pertua Negeri adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong, yang dilaksanakan setelah mendapat nasihat Ketua Menteri Sabah, selaras dengan Perkara 1(1) Perlembagaan Negeri Sabah.

“Sehubungan itu, sebarang bantahan terhadap pelantikan ini haruslah dilakukan melalui saluran yang sah dan dengan penuh penghormatan terhadap keluhuran undang-undang negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Beberapa kawasan di Sandakan mengalami banjir kilat

Pasukan bomba bertindak menjalankan operasi memindahkan empat mangsa yang terperangkap di dalam rumah akibat banjir di kawasan kediaman mereka

Berwaspada hadapi banjir akibat luruan monsun di kawasan berisiko – Fahmi

Agensi Pengurusan Bencana Negara sentiasa bersedia untuk hadapi dan (begitu juga) bagi agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia

Genjatan senjata di Semenanjung Gaza dijadual bermula Ahad ini – PM Qatar

Mohammed turut memaklumkan bahawa Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS) "akan berusaha memastikan pelaksanaan perjanjian itu" dengan mekanisme bagi memantau pelaksanaannya serta menangani sebarang kemungkinan pelanggaran

AirAsia menyasarkan 5 juta tetamu diterbangkan ke Sabah tahun ini

Penambahbaikan ini dijangka akan menyumbang kepada peningkatan 35 peratus dalam jumlah penerbangan kepada lebih 51,500 penerbangan setahun serta pertumbuhan 43 peratus dalam kapasiti tempat duduk kepada 9.8 juta tempat duduk setahu