Libatkan kontraktor tempatan, bumiputera dalam projek ECRL – PM Anwar

Date:

Share post:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) menjamin penyertaan kontraktor tempatan serta Bumiputera dalam pelaksanaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Perdana Menteri berkata, projek bernilai lebih RM50 bilion itu juga perlu disempurnakan dengan pembabitan tenaga pekerja, perunding serta pembekal mencukupi daripada syarikat negara.

Ketika ini, katanya, projek berkenaan sudah mencapai 67 peratus pelaksanaan dan perlu disiapkan segera.

“Kerajaan akan memberi kerjasama diperlukan oleh MRL dan CCCC dalam memastikan pelaksanaan dapat disempurnakan mengikut jadual.

“Saya menyatakan kepada CCCC dan MRL supaya menyegerakan pelaksanaan projek ini dan kerajaan akan berikan segala kerjasama supaya pesatkan pertumbuhan dan kejayaan projek.

“Kita juga minta beberapa perhatian termasuk jaminan, kerjasama kontraktor tempatan dan kontraktor Bumiputera serta (penyertaan) pekerja, perunding dan pembekal mencukupi dari syarikat negara dan penyertaan Bumiputera selayaknya,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Pecah Tanah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Gombak, hari ini.

Majlis itu diadakan bersempena lawatan rasmi selama tiga hari Perdana Menteri China, Li Qiang ke Malaysia, untuk memperkukuh hubungan dua hala dan memperingati ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.

Terletak di kawasan seluas 8.73 hektar di pinggir kawasan pembentukan kuarza terpanjang di dunia ‘Gombak Selangor Quartz Ridge’, stesen Terminal Bersepadu ECRL Gombak dijangka dihubungkan dengan stesen LRT Gombak sedia ada, bagi memudahkan kesalinghubungan menerusi LRT Laluan Kelana Jaya.

Mengulas lanjut, Anwar juga mahu MRL dan CCCC berbincang dan merangka penyelesaian terhadap isu berkaitan penyelenggaraan dan operasi, bagi menjamin perjalanan projek mega berkenaan tidak terganggu.

“Mengenai isu penyelenggaraan dan operasi, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali sudah bertemu CCCC dan MRL semalam (kelmarin) bagi memberi tumpuan kepada keperluan, teruskan dan mula merancang (menyelesaikan) isu operasi dan penyelenggaraan ini.

“Salah satu rangkaian utama projek mega perlu dipastikan supaya pengurusan projek ini dapat dijalankan dengan cara yang betul dan tidak mengganggu kemajuannya,” katanya.

Perdana Menteri juga menghargai komitmen kerjasama kedua-dua syarikat itu dalam menyediakan latihan kemahiran, pemindahan teknologi serta pendedahan kepada pemain dan pekerja tempatan.

Anwar berkata, pelaksanaan projek ECRL yang dimulakan pada 2016 dan diteruskan hingga kini, berupaya melonjakkan kepesatan ekonomi khususnya di negeri Pantai Timur.

“Saya percaya ia akan menunjukkan kesediaan kita bukan sahaja mencatat pembangunan, tetapi menjamin pembangunan lebih merata kerana ECRL akan menjamin pertumbuhan rantau (negeri) yang dianggap kurang dari segi persaingan dan tidak mempunyai keupayaan untuk bersaing melainkan dengan prasarana yang cukup baik.

“Prasarana disediakan termasuk di Terengganu dan Pahang itu akan memberikan ruang supaya kita boleh menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang lebih segar di negeri berkenaan,” katanya.

ECRL yang menghubungkan pantai timur dan barat Semenanjung atau Kota Bharu ke Pelabuhan Klang, merangkumi pembinaan 41 terowong, kira-kira 145 kilometer laluan bertingkat serta 28 lintasan hidupan liar di lokasi strategik di sepanjang jajaran relnya.

Bahagian paling kritikal pembinaan ECRL iaitu Terowong Genting sepanjang 16.39 kilometer (km) melintasi Banjaran Titiwangsa kini mencapai 30 peratus dan akan mengambil masa lebih setahun untuk disiapkan.

Jajaran sepanjang 665 kilometer itu membabitkan perbelanjaan RM50.27 bilion, direka bentuk dengan mengelak serta menyentuh sebarang kawasan hutan simpan, sumber air dan habitat hidupan liar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Kerajaan bebaskan 142,510 individu daripada senarai bankrap – PM Anwar

Daripada lebih 142,500 individu, syarikat dan keluarga yang terapung (nasibnya), tanpa jelas masa depan dan kehidupan mereka, itu bermakna mereka boleh kembali membantu memacu ekonomi

Kerajaan luluskan beberapa pembinaan BBP di Sabah bagi perkasa khidmat kebombaan

Nga Kor Ming berkata, pelaksanaan itu membabitkan BBP Telupid, Lahad Datu, Beaufort, Pitas, Nabawan dan Merotai untuk tahun ini

Syarikat China melabur RM10 bilion bangunkan tenaga hijau di Sarawak

"Kami percaya Premier Sarawak (Tan Sri Abang Johari Abang Openg) mempunyai visi yang jelas dan yakin beliau boleh menjadikan Sarawak sebagai hab tenaga hijau.Sehubungan itu, ingin menghulurkan sokongan kami (dalam pelan tenaga hijau),"

Maybank jamin sistem dan maklumat pelanggan dilindungi sepenuhnya

terdapat dakwaan pangkalan data Maybank2u diterbitkan di forum laman web gelap. "kami mengambil serius atas kebimbangan keselamatan ini dan terus memantau serta memastikan data kami dilindungi setiap masa,"