Selangor sasar nohtahkan miskin tegar selewat-lewatnya bulan Julai – Amirudin Shari

Date:

Share post:

HULU SELANGOR: Kerajaan Selangor menyasarkan untuk menoktahkan kemiskinan tegar di negeri itu selewat-lewatnya pada Julai ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata hal ini berdasarkan taklimat yang diterima daripada Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Selangor yang merekodkan sejumlah 861 keluarga masih berada dalam kategori miskin tegar.

Katanya, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) telah diarahkan untuk menyalurkan lebihan dana Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), membabitkan pemberian bantuan sebanyak RM300 sebulan kepada golongan berkenaan.

“Ada sebahagian mereka yang hanya memerlukan tambahan RM17 lagi kepada pendapatan mereka untuk keluar daripada tahap kelompok kemiskinan setiap bulan.

“Jadi, saya percaya dengan pemberian bantuan RM300 itu dicampur dengan zakat sebab (dalam jumlah senarai miskin tegar itu) kita ada 500 lebih masyarakat Melayu dan selebihnya bukan Melayu yang akan dapat kita tangani,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan raya anak muda Batang Kali di sini malam tadi.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai isu Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli yang dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa, Amirudin berharap ia tidak dijadikan isu kempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) yang sedang berlangsung.

“Biar SPRM jalankan tugas … kita (Pakatan Harapan) tak mahu mencatatkan kejayaan berdasarkan daripada bencana yang menimpa pihak lawan.

“Apa yang cuba ditampilkan PH ialah menunjukkan yang telah dicapai terutamanya sumbangan mendiang Lee Kee Hiong (penyandang kerusi DUN KKB) dan perkara yang bakal dilaksanakan oleh calon Pang Sock Tao di samping sokongan kuat program kebajikan dan pembangunan kerajaan negeri,” kata Naib Presiden PKR itu.

PRK KKB yang menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang, Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas), diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan pada 11 Mei ini, manakala pengundian awal pada 7 Mei.

-BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Potensi pelaburan RM1.4 bilion dari Jepun – PM Anwar

Perdana Menteri yang memaklumkan perkembangan itu hasil pertemuan dengan rakan sejawatnya di Jepun, Fumio Kishida, di sini hari ini, berkata potensi pelaburan itu meliputi projek di Semenanjung, Sabah dan Sarawak

Pelaksanaan rasionalisasi subsidi : Inflasi Malaysia tidak akan meningkat

Dasar pelengkap kepada rasionalisasi subsidi, sama ada penambahbaikan awal dalam pertumbuhan gaji atau pengembangan dalam jaringan keselamatan sosial dengan mengalihkan beban subsidi daripada bahan api kepada jenis subsidi lain, juga harus dipertimbangkan dan dilaksanakan secara serentak

To Lam Presiden Vietnam yang baharu

Beliau dalam ucapan pertama sebagai Presiden berjanji untuk setia kepada tanah air, rakyat dan Perlembagaan serta melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan tugas yang diberikan oleh parti, negara dan rakyat.

Ayam sejuk beku dikesan bersama bekalan daging khinzir dalam kontena

Kes disiasat mengikut Perintah 3(1)(g) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 iaitu menyimpan barang yang diperihalkan sebagai halal dengan barang yang tidak diperihalkan sebagai halal berdekatan satu tempat simpanan yang sama. Jika sabit kesalahan, pesalah membabitkan pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak lebih RM5 juta, manakala untuk kesalahan kedua membabitkan denda tidak lebih RM10 juta