Menteri-Menteri Besar rakam takziah kepada keluarga mangsa tragedi helikopter terhempas di Lumut

Date:

Share post:

Kuala Lumpur: Beberapa menteri besar hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa tragedi dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak pagi tadi.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad menyifatkan tragedi itu sebagai amat menyedihkan selain mendoakan keluarga mangsa dikurniakan kekuatan dan ketabahan menghadapi saat getir ketika ini.

“Hari yang amat menyedihkan buat kita semua. Takziah kepada seluruh keluarga wira-wira TLDM yang terlibat dalam tragedi kemalangan helikopter di TLDM Lumut pagi tadi.

“Ya Allah Azza Wa Jalla, Kau ampunkanlah dosa mereka, Kau angkatkanlah darjat mereka ke tahap yang tertinggi sesuai dengan pengorbanan tinggi yang mereka curahkan buat agama, bangsa dan negara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang turut mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga mangsa nahas itu, mendoakan agar mereka yang terkorban ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pula menyifatkan tragedi yang menyayat hati itu sebagai satu kehilangan yang cukup besar kepada negara dan TLDM.

“Saya bersama Kerajaan Negeri Pahang dan seluruh rakyat Pahang merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap mereka tabah menghadapi dugaan yang berat ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mengucapkan takziah turut menitipkan doa buat mangsa yang terkorban dalam tragedi itu.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh mereka, dipermudahkan urusan dan diberikan ketabahan buat keluarga yang ditinggalkan,” katanya.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut mengajak rakyat di negeri itu berdoa buat mangsa yang terkorban dalam tragedi berkenaan serta mendoakan agar mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nasuruddin Daud pula, yang turut menzahirkan ucapan takziah, berharap aspek keselamatan semasa raptai perlu diberi keutamaan pada masa akan datang.

Tragedi membabitkan pesawat Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan pesawat Fennec (M502-6) pada 9.32 pagi semasa Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 itu mengorbankan 10 pegawai dan anggota TLDM termasuk tiga wanita.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/04/1083068/menteri-menteri-besar-rakam-takziah-kepada-keluarga-mangsa-tragedi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

PDRM mahu bina PULAPOL serba moden di Sabah

PDRM dalam rancangan jangka panjang akan memindahkan PULAPOL Kota Kinabalu ke satu kawasan di Tuaran yang mana tapak bagi pembinaannya sudah dikenal pasti dan kita hanya menunggu bajet dari kerajaan bagi merealisasikan rancangan ini

JAKIM pertimbang cadangan untuk wajibkan sijil halal bagi restoran

Apabila katakan kita nak mewajibkan semua (restoran) ada sijil halal, beberapa akta ataupun undang-undang itu perlu perlu dipinda

Kerajaan Sabah tubuh Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan

Keputusan untuk menubuhkan jawatankuasa khas ini adalah disebabkan oleh kes-kes meluas kanak-kanak yang dilahirkan di Sabah tanpa dokumen dan kad pengenalan (IC) yang menyebabkan mereka menghadapi masalah seperti pergi ke sekolah. Selalunya, perkara ini disebabkan oleh kecuaian ibu bapa mereka

Keunikan Sabah dari sudut perpaduan perlu dipertahankan

Ini adalah aset yang sangat penting khususnya di Sabah dan hasil kepelbagaian ini lah yang menyumbang dalam membangunkan negeri ini serta turut membantu dalam mengekalkan keamanan