Wira negara diuji kemarau dan puasa, demi negara

Date:

Share post:

Serudong: Biarpun berdepan pelbagai cabaran terutama cuaca panas, kemarau serta berpuasa pada bulan Ramadan, anggota Batalion Ke-26 Rejimen Askar Melayu Diraja (26 RAMD) menerusi Ops Balasah tetap cekal mempertahankan sempadan negara.

Pasukan 26 RAMD di bawah pemerintahan Divisyen Kelima Infantri (5 Divisyen) menjalankan operasi itu sejak tiga bulan lalu di sempadan Malaysia-Indonesia di sini bagi mengekang segala anasir termasuk jenayah rentas sempadan.

Penulis berpeluang merasai cabaran itu apabila meninjau pengoperasian rondaan Op Balasah baru-baru ini, namun hanya bertahan kira-kira dua jam sebelum terdampar kepenatan, kepanasan dan kehausan membuatkan penulis menitip rasa hormat amat tinggi buat perwira 26 RAMD itu.

Panglima 5 Divisyen Mej Jen Datuk Malek Razak Sulaiman berkata, tanpa mengira masa dan berdepan pelbagai cabaran pasukannya terus menjalankan tugas dan tanggungjawab bagi memastikan keselamatan di sempadan dua negara di Sabah, Malaysia dan Kalimantan Utara, Indonesia terus terjaga.

“Tujuh hari seminggu dalam tiga bulan ini tanpa mengira cabaran dengan bulan Ramadan dan semua anggota 26 RAMD beragama Islam selain dalam cuaca panas serta apa juga cuaca, kita terus menjalankan tugas dan tanggungjawab diamanahkan.

“Op Balasah bertujuan menjaga keselamatan untuk kawal pintu sempadan sama ada lorong tikus atau lorong gajah diceroboh anasir tidak bertanggungjawab sama ada dari Kalimantan Utara ke Sabah atau sebaliknya, memastikan tidak berlaku jenayah rentas sempadan membahayakan negara,” katanya.

Malek Razak berkata Op Balasah sebenarnya dimulakan sekitar 90-an sebagai operasi memantau kayu balak di pedalaman negeri itu yang memberikan nama singkatan ‘Balasah’ merujuk balak Sabah, namun operasi itu berevolusi menjaga keselamatan di sempadan negara seiring keperluannya.

Beliau berkata menerusi operasi itu, pasukan bawah pemerintahan 5 Divisyen akan bergilir untuk tempoh tiga bulan melaksanakan operasi, serta ditempatkan di 12 pos kawalan antaranya di Serudong dan Long Pasia bagi melaksana pelbagai tugasan antaranya pengawasan serta jaringan penduduk di sempadan.

“26 RAMD yang menjalankan Op Balasah ini pula berpusat di Markas Taktikal Keningau untuk kita menyelaras dan mengatur gerak operasi ini. Datanglah apa sahaja cabaran kita di 5 Divisyen sentiasa bersedia dan berkorban bagi pertahankan negara,” katanya.

Korporal Muhamed Afhaizat Ramadhan Mohammad berkata, dia bersama ‘adik-beradiknya’ dalam 28 RAMD dari Kem Kukusan, Tawau sedia berkorban menempuh pelbagai cabaran kerana pengorbanan itu dapat memastikan keamanan serta keselamatan negara dan rakyat dapat dikekalkan.

“Cabaran paling getir ketika cuaca panas ini adalah bekalan air dan berdepan pelbagai cabaran ditambah terpaksa berjauhan dengan keluarga pada Ramadan juga Syawal yang bakal tiba. Namun pengorbanan ini amat berbaloi untuk mendapatkan keamanan,” katanya yang berasal dari Batu Pahat, Johor.

Muhamed Afhaizat Ramadhan, 30, turut berkongsi cerita mengenai memori sambutan Ramadan dan Syawal di kampung antaranya masakan nasi beriani Batu Pahat, malah beliau merindui masakan ayam masak merah dan sambal jawa hasil air tangan ibunya.

Bukan mudah bagi bapa seorang anak itu yang terpaksa berjauhan dengan isteri dan anaknya yang kini tinggal di Pontian, Johor, namun ia dilakukan sepanjang tujuh tahun melaksana amanah sebagai perwira negara di Sabah.

Prebet Muhamad Hafizan Md Zulkifli, 25, dari Pasir Puteh, Kelantan berkata ahli keluarganya amat memahami pengorbanan dilakukannya dan sentiasa memberikan sokongan serta dorongan yang menjadi kekuatan untuknya meneruskan amanah diberikan.

“Kami anggota (28 RAMD) adalah adik-beradik yang sentiasa memberikan sokongan antara satu sama lain. Kami dalam tiga minggu di sini dengan cuaca panas, bekalan air susah, berpuasa tetapi semangat kami masih kental dan kuat,” katanya.

Beliau bertunang dengan gadis pilihannya dari Kuala Nerang, Kedah sejak 2022 namun kerana tugas dan lokasi tempat kerja yang jauh, pasangan itu sanggup menangguhkan perkahwinan dan memohon kepada semua untuk mendoakan mereka selamat melangsungkan perkahwinan akhir tahun ini.

Semangat ‘Nerang Separang’ bermaksud ‘Tangkas Menggempur’ dalam bahasa Bajau yang juga cogan kata 5 Divisyen mencerminkan semangat mereka mengorbankan segalanya demi memastikan Malaysia serta rakyat sentiasa dalam keadaan aman dan sejahtera biarpun berdepan segala cabaran.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/04/1077115/wira-negara-diuji-kemarau-dan-puasa-demi-negara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Laporan RCI berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh dibentang di Dewan Rakyat minggu hadapan

“Harap ia akan dibahaskan supaya rakyat tahu apa yang berlaku,”

Kerajaan Pahang kenal pasti 34 ajaran sesat yang masih aktif

Selain itu, individu berkenaan juga diberikan teguran dan amaran supaya pulang ke pangkal jalan supaya tidak terbabit secara serius dan melarat

Jadikan projek Tamu Desa sebagai pusat pertumbuhan ekonomi setempat – Ewon

Semua ini mempunyai kesan positif kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan kesejahteraan ekonomi secara keseluruhan

Dakwaan kebocoran data atau transaksi mencurigakan tidak benar – JPN

JPN sudah berhubung dengan Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan (NACSA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan diambil di pihak mereka